1,429 pegawai, anggota PDRM dikenakan tindakan tatatertib

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay/RTM


GEORGE TOWN, 23 April
– Seramai 1,429 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tahun lalu, termasuk 134 dibuang kerja.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan tatatertib dilaksanakan tanpa kompromi, termasuk amaran, denda, lucut hak emolumen, turun pangkat dan buang kerja.
  • Sebahagian besar kes melibatkan integriti, diikuti jenayah, penyalahgunaan dadah, tadbir urus, syariah dan rasuah.
  • Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard menyiasat dalaman, IPCC pantau luaran dan terima aduan awam jika tidak puas hati.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan itu membuktikan PDRM tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku dalam kalangan warga pasukan.

“Daripada jumlah keseluruhan, 819 dikenakan amaran, denda (211), lucut hak emolumen (190), tangguh pergerakan gaji (18), turun gaji (34), turun pangkat (23) serta buang kerja (134),” katanya selepas menghadiri Forum Perdana Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam Pulau Pinang (CCPSS) di sini, hari ini.

Beliau berkata, kesalahan direkodkan melibatkan pelbagai kategori, dengan jumlah tertinggi berkaitan integriti (1,072 kes), diikuti jenayah (98), penyalahgunaan dadah (95), tadbir urus (91), syariah (40) dan rasuah (33 kes).

“Mungkin jumlahnya hanya sekitar satu peratus tetapi impaknya besar kerana golongan kecil inilah yang boleh mencemarkan imej serta menjejaskan segala usaha dan pencapaian baik yang telah dilakukan pasukan, sebab itu tindakan tegas perlu diambil tanpa kompromi,” katanya.

Menurut beliau, PDRM mempunyai mekanisme siasatan dalaman melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, selain pemantauan luaran oleh Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) di bawah Kementerian Dalam Negeri.

“Orang awam yang tidak berpuas hati terhadap hasil siasatan dalaman polis boleh mengemukakan aduan kepada IPCC,” katanya.

Tan Sri Ayob Khan turut menegaskan integriti adalah asas penting dalam memastikan kepercayaan rakyat terhadap pasukan keselamatan itu terus terpelihara.