
SEPANG, 23 April – Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) 2026 bukan bersifat sekali sahaja, sebaliknya dirangka dengan kesinambungan berterusan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
- Setiap pelaksanaan disertai pemantauan dan penilaian, dengan susulan oleh JBSN untuk memastikan impak terus dirasai oleh golongan belia.
- Suara dan pandangan anak muda akan diangkat ke peringkat atasan, mendapat perhatian kementerian dan pihak berkuasa tertinggi.
- Inisiatif inklusif 17 siri merentasi negeri, menjangkau kawasan luar bandar dan pedalaman, memfokuskan belia akar umbi tanpa persatuan.
Menteri Belia dan Sukan (KBS), Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, setiap pelaksanaan program itu akan disertai proses pemantauan dan penilaian bagi memastikan golongan belia menerima impaknya secara konsisten.
“Selepas sahaja program ini selesai, kita ada data-data anak muda dan juga keberkesanan program dimana ada proses susulan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).
“Kita akan rangkul semula peserta-peserta ini untuk bersama dalam setiap aktiviti dan penyertaan belia-belia ini dalam pertubuhan belia, perkara berkenaan adalah yang paling penting.
”Ia bukan program bersifat sekali sahaja kerana setiap padangan anak-anak muda akan angkat ke peringkat tertinggi,” katanya kepada RTM.
Jelas Dr Mohammed Taufiq lagi, beliau mahu memastikan suara dan pandangan anak muda terus diberi perhatian, bukan sahaja di peringkat kementerian, malah hingga ke peringkat atasan.
KIBAR 2026 merupakan inisiatif baharu KBS yang dirangka melalui pendekatan lebih segar, inklusif dan berimpak tinggi bagi memperkasa golongan belia akar umbi, khususnya belia tidak berpersatuan.
Program itu akan dilaksanakan melalui 17 siri program di 17 lokasi seluruh negara, melibatkan satu siri di setiap negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, serta dua siri masing-masing di Sabah dan Sarawak.
Pendekatan tersebut diambil bagi memastikan capaian program yang menyeluruh, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman.