
GEORGE TOWN, 23 April – Malaysia terus berdepan cabaran sebagai negara transit dadah antarabangsa, khususnya melalui laluan utara Semenanjung yang menjadi pintu masuk bahan terlarang dari kawasan “segi tiga emas”.
- Rampasan dadah bernilai RM3.1 bilion tahun lalu dan RM915 juta dalam tiga bulan pertama tahun ini.
- Tindakan menggunakan SOSMA 2012 dan pendekatan jenayah terancang diperlukan untuk menumpaskan semua elemen sindiket.
- Kawalan sempadan yang luas sukar dikawal; risikan penting dan kerjasama rapat dengan agensi antidadah jiran seperti Thailand.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedudukan strategik negara menjadikannya antara laluan penting sindiket antarabangsa.
Sepanjang tahun lalu, nilai rampasan dadah dan racun mencecah RM3.1 bilion, manakala bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, rampasan direkodkan sebanyak RM915 juta.
Menurut beliau, Malaysia bukan negara pengeluar dadah, sebaliknya hanya transit sebelum bahan tersebut diedarkan ke destinasi lain, selain sebahagian kecil digunakan dalam negara.
Katanya, sindiket menggunakan pelbagai laluan termasuk darat, laut dan udara bagi menyeludup masuk dadah ke negara ini.
“Kita menggunakan proses di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta pendekatan jenayah terancang bagi mengambil tindakan terhadap semua elemen sindiket, sama ada ketua, penghantar atau pemproses dadah, barulah keseluruhan sindiket dapat ditumpaskan dan beri impak lebih besar,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Forum Perdana Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam Pulau Pinang (CCPSS) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tan Sri Ayob Khan mengakui kawalan sempadan negara yang luas dan terbuka menjadi cabaran utama kepada pihak berkuasa.
“Sempadan negara agak sukar di kawal sepenuhnya. Justeru, risikan amat penting dan kita turut menjalin kerjasama rapat dengan agensi antidadah negara jiran seperti Thailand,” katanya.