
KUALA LUMPUR, 16 April – MyDigital ID dilihat langkah penting dalam mewujudkan sistem pengesahan digital yang selamat, sekali gus memudahkan akses pelbagai perkhidmatan melalui satu identiti.
- Asas teknikal kukuh termasuk sumber data identiti rasmi, pengesahan biometrik dan ciri keselamatan selaras piawaian antarabangsa.
- Perlu penambahbaikan kebolehoperasian antara sektor, kerangka perundangan, serta mekanisme ketelusan, pemantauan dan perlindungan pengguna.
- Cabaran tadbir urus memerlukan penyelarasan antara agensi serta peranan dan tanggungjawab yang lebih jelas.
- Keterangkuman dan kepercayaan awam bergantung pada ketelusan, perlindungan data, saluran aduan efektif serta akses peranti, internet dan kelayakan MyKad.
Khazanah Research Institute (KRI) dalam kenyataan berkata, kertas perbincangan bertajuk “Assessing and optimising MyDigital ID” memaklumkan keberkesanan sistem berkenaan bukan hanya bergantung kepada teknologi tetapi turut dipengaruhi undang-undang, tadbir urus, keterangkuman serta kepercayaan awam.
Sistem berfungsi sebagai platform Single Sign-On (SSO) yang memudahkan akses perkhidmatan selain menyokong transaksi dan tandatangan digital.
Kajian itu mendapati sistem tersebut mempunyai asas yang kukuh termasuk penggunaan sumber data identiti rasmi, pengesahan biometrik serta ciri keselamatan yang selaras dengan piawaian antarabangsa.
Namun, beberapa aspek masih memerlukan penambahbaikan khususnya dari segi kebolehoperasian antara sektor, kerangka perundangan serta mekanisme ketelusan, pemantauan dan perlindungan pengguna.
Dari sudut tadbir urus, cabaran utama dikenal pasti melibatkan penyelarasan antara pelbagai agensi serta keperluan kepada peranan dan tanggungjawab yang lebih jelas bagi memastikan sistem dapat berkembang dengan berkesan.
Selain itu, kepercayaan awam dilihat bergantung kepada tahap ketelusan dan keupayaan sistem dalam melindungi data pengguna serta menyediakan saluran aduan yang berkesan.
Dalam aspek keterangkuman, sistem itu telah menyediakan pelbagai kaedah pendaftaran termasuk secara dalam talian dan bantuan fizikal.
Namun, akses masih bergantung kepada pemilikan peranti, capaian internet serta kelayakan pemegang MyKad, manakala data penggunaan awam pula masih terhad.
Sehubungan itu, beberapa keutamaan dasar dicadang termasuk memperkukuh undang-undang, meningkatkan penyelarasan institusi, memperluas integrasi antara sektor serta mempertingkat ketelusan dan akses pengguna.
Secara keseluruhan, MyDigital ID kukuh dari segi teknikal, namun kejayaan jangka panjang bergantung pada kepercayaan, tadbir urus dan keterangkuman.