
DHAKA, 27 Julai – Krisis bekalan gas yang berpanjangan di Bangladesh, semakin meruncing kesan konflik di Asia Barat. Situasi itu bertambah buruk selepas kemalangan di sebuah kemudahan industri mengganggu bekalan gas, sekali gus menjejaskan isi rumah, perniagaan dan sektor utama termasuk industri tekstil.
- Kebakaran di kemudahan LNG Moheshkhali memperburuk bekalan, menyebabkan barisan panjang di stesen dan gangguan pengisian bahan api.
- Isi rumah terpaksa guna alternatif memasak seperti dapur induksi dan dapur tanah liat, ramai perlu cari kayu api.
- Sektor tenaga dan penjanaan elektrik terjejas kerana kebergantungan pada gas asli; Petrobangla tidak dapat sahkan bila bekalan pulih.
- Industri pakaian siap terjejas, puluhan kilang henti operasi; loji janakuasa sendiri hampir tidak beroperasi, menjejaskan penghantaran dan keuntungan.
Seorang petugas pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jubaida Anjum Saba, yang menetap di Dhaka, berkata keluarganya yang terdiri daripada 10 orang tidak menerima bekalan gas memasak sejak Rabu.
Keadaan itu memaksa Jubaida menggunakan pelbagai alternatif untuk memasak, termasuk dapur induksi dan dapur tanah liat yang sebelum ini hanya digunakan pada majlis tertentu. Kini, dia perlu mendapatkan kayu api bagi membolehkan dapur itu digunakan.
Bangladesh telah lama berdepan krisis tenaga, namun konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran sejak Februari lalu memburukkan lagi keadaan dan memberi kesan besar kepada ekonomi negara Asia Selatan itu.
Keadaan menjadi semakin kritikal pada Rabu apabila kebakaran berlaku di salah satu daripada dua kemudahan penyimpanan dan pengegasan semula gas asli cecair (LNG) di Moheshkhali.
Insiden itu turut menyebabkan barisan panjang kembali kelihatan di stesen pengisian gas. Aplikasi perkhidmatan e-panggilan, Obhai turut memaklumkan bahawa pihaknya menerima aduan daripada pemandu beca automatik berkuasa gas berhubung tempoh menunggu yang panjang untuk mengisi bahan api.
Gangguan bekalan itu juga dijangka menjejaskan penjanaan elektrik memandangkan sebahagian besar bekalan elektrik negara bergantung kepada gas asli.
Pegawai syarikat tenaga milik kerajaan, Petrobangla, Md Rafiqul Islam, berkata pihaknya masih belum dapat memastikan bila bekalan gas akan kembali pulih sepenuhnya.
Bangladesh kini mengimport kira-kira 30 peratus daripada keperluan gas aslinya.
Menurut sumber Petrobangla, permintaan gas negara dianggarkan sekitar 3.8 bilion kaki padu sehari, namun bekalan harian hanya mencecah 2.7 bilion kaki padu sejak tahun lalu.
Selepas kemalangan minggu ini, bekalan harian merosot lagi kepada hanya 2.15 bilion kaki padu.
Sektor perkilangan, khususnya industri pakaian siap yang merupakan penyumbang utama eksport Bangladesh, dilihat antara yang paling terkesan akibat krisis berkenaan.
Presiden Persatuan Pengilang dan Pengeksport Pakaian Rajut Bangladesh, Mohammad Hatem, berkata puluhan kilang terpaksa menghentikan operasi berikutan kekurangan bekalan gas.
Menurut pemilik kilang, kebanyakan mereka bergantung kepada sistem penjanaan elektrik sendiri kerana bekalan elektrik daripada grid nasional sering tidak stabil, selain turun naik voltan yang kerap merosakkan mesin.
“Bagi tempoh 10 hari lalu, loji janakuasa kendiri hampir tidak dapat beroperasi dan kesannya dijangka amat buruk, termasuk kelewatan penghantaran produk serta pengurangan keuntungan,” katanya.- AFP