Iran beri amaran akan tindak balas susulan serangan kapal di Laut Kaspia

Abbas Araghchi/ REUTERS

TEHRAN, 27 Julai – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, memberi amaran bahawa negara itu akan bertindak balas terhadap serangan maut yang didakwa dilakukan Ukraine ke atas sebuah kapal Iran di Laut Kaspia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zelensky umum serangan jarak jauh di Laut Kaspia, menyasarkan kapal pengangkut kargo ketenteraan melibatkan Iran, termasuk sebuah kapal perang.
  • Araghchi mendakwa Zelensky mengarahkan serangan ke atas kapal komersial Iran, menyebabkan seorang anak kapal terbunuh dan beberapa lagi cedera.
  • Araghchi menyifatkan tindakan itu pelanggaran terang PBB dan menuduh Israel cuba mengheret Eropah ke dalam perang.
  • Kementerian Luar Iran memanggil Kuasa Usaha Ukraine di Tehran untuk mengemukakan bantahan rasmi terhadap serangan tersebut.

Amaran itu dibuat selepas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, memaklumkan bahawa Kiev melancarkan serangan jarak jauh di Laut Kaspia yang menyasarkan kapal-kapal yang membawa kargo ketenteraan membabitkan Iran, sekali gus memperlihatkan konflik Rusia-Ukraine kini semakin melibatkan dimensi antarabangsa.

Menerusi hantaran di platform X, Araghchi mendakwa Zelensky telah mengarahkan serangan ke atas sebuah kapal komersial Iran sehingga mengorbankan seorang kelasi.

“Ini merupakan satu pelanggaran terang-terangan terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang dilakukan atas desakan Israel bagi mengheret Eropah ke dalam kancah peperangannya,” menurut hantaran itu.

Sementara itu Araghchi menerusi perbualan telefonnya dengan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas, dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, menegaskan tindakan Kiev itu tidak akan dibiarkan tanpa sebarang tindak balas.

Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan memaklumkan serangan tersebut menyebabkan kapal berkenaan meletup, mengorbankan seorang anak kapal serta mencederakan beberapa lagi yang lain.

Menurut kementerian itu, Iran tidak pernah campur tangan dalam konflik antara Rusia dan Ukraine.

Pada Sabtu, Zelensky menerusi media sosial berkata angkatan tentera Ukraine berjaya melaksanakan serangan jarak jauh yang disifatkannya sebagai sangat berkesan di Laut Kaspia, termasuk menyasarkan kapal yang digunakan untuk penghantaran kargo ketenteraan membabitkan Iran serta sebuah kapal perang.

Agensi perisikan Ukraine menerusi aplikasi Telegram memaklumkan serangan dron telah dilancarkan terhadap kapal-kapal kargo yang dikenakan sekatan antarabangsa dan didakwa digunakan untuk mengangkut kargo ketenteraan antara Iran dan Rusia.

Media rasmi Iran pula melaporkan Kementerian Luar negara itu telah memanggil Kuasa Usaha Ukraine di Tehran pada Sabtu bagi mengemukakan bantahan terhadap tindakan tersebut.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.