
KUALA LUMPUR, 26 Julai – Program Akademi Dalam Industri (ADI) memainkan peranan penting melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan mengurangkan isu ketidakpadanan pekerjaan antara graduan dengan keperluan industri.
- Pendekatan place and train: peserta ditempatkan terus di syarikat untuk latihan berdasarkan keperluan sebenar industri.
- Kerjasama empat kementerian memastikan latihan industri bersama kerajaan dan sektor swasta, mempercepat tempoh latihan.
- Kandungan latihan dikemas kini untuk menghadapi AI, automasi dan pendigitalan; AI memperkukuh kemahiran bukannya menggantikan tenaga kerja.
Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dr. Mohamad Norjayadi Tamam berkata, program hasil kerjasama empat kementerian itu menggunakan pendekatan ‘place and train’ iaitu peserta ditempatkan terus di syarikat untuk menjalani latihan berasaskan keperluan sebenar industri.
“ADI dirangka menerusi kerjasama rapat antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Ekonomi.
Ini bagi memastikan industri bersama-sama kerajaan menyediakan peluang latihan kepada pencari kerja. Pendekatan ini membolehkan tempoh latihan dipendekkan kerana peserta terus menjalani latihan dalam persekitaran industri sebenar,” katanya kepada RTM, di Angkasapuri Kota Media.
Beliau berkata program itu turut kekal relevan dalam mendepani era kecerdasan buatan (AI), automasi dan pendigitalan apabila kandungan latihan sentiasa dikemas kini mengikut perkembangan teknologi semasa.
“Ini bagi memastikan peserta memiliki kemahiran yang diperlukan pada masa kini dan masa hadapan. AI bukan bertujuan menggantikan tenaga kerja, sebaliknya berperanan memperkukuh pengetahuan dan kemahiran sedia ada,” jelasnya lagi.
Beliau menambah, kejayaan syarikat yang menyertai ADI membuktikan program tersebut berjaya melahirkan bakat yang memenuhi kehendak industri serta menyokong pembangunan tenaga kerja masa hadapan.