MAHB sasar lebih banyak syarikat tempatan sertai projek lapangan terbang

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengalu-alukan lebih banyak syarikat tempatan menyertai projek pembangunan dan penaiktarafan lapangan terbang di seluruh negara, sejajar agenda transformasi syarikat yang memfokuskan kepada perkhidmatan, kapasiti dan pertumbuhan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peluang perniagaan luas termasuk pembinaan, ICT, pengurusan fasiliti, peruncitan, penyelenggaraan dan perkhidmatan sokongan.
  • Siri Vendor Roadshow tahun lalu menarik kira-kira 800 vendor baharu; inisiatif diteruskan melalui Procurement and Project Showcase.
  • Keutamaan diberi kepada pembekal tempatan yang memenuhi syarat; pendaftaran melalui Sistem Pengurusan Vendor (VMS) di laman rasmi MAHB.

Ketua Pegawai Perolehan MAHB, Sr Azita Mohamed Tahir berkata, pelbagai peluang perniagaan ditawarkan bukan sahaja dalam bidang pembinaan, malah turut melibatkan teknologi maklumat (ICT), pengurusan fasiliti, peruncitan, penyelenggaraan serta perkhidmatan sokongan.

Menurutnya, inisiatif itu diteruskan susulan sambutan menggalakkan terhadap siri Vendor Roadshow yang dianjurkan tahun lalu sehingga menarik penyertaan kira-kira 800 vendor baharu dari seluruh negara.

“Tahun ini kita tampil dengan Procurement and Project Showcase bagi memberi pendedahan lebih menyeluruh kepada vendor mengenai projek-projek yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Malaysia Airports.

“Lapangan terbang bukan sekadar terminal yang dilihat penumpang, tetapi di sebaliknya terdapat pelbagai operasi yang memerlukan kerjasama rakan pelaksana daripada pelbagai bidang,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Sr Azita berkata, antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, selain projek pembangunan di Sabah dan Sarawak yang akan diumumkan menerusi siri Procurement and Project Roadshow bermula bulan depan.

Beliau berkata, pembangunan itu bukan sahaja melibatkan pembinaan fizikal, malah menaik taraf sistem ICT, kemudahan fasiliti serta meningkatkan pengalaman penumpang.

Dalam masa sama, MAHB memberi keutamaan kepada penyertaan pembekal tempatan, dengan keutamaan diberikan kepada syarikat tempatan yang memenuhi syarat pendaftaran ditetapkan mengikut keperluan projek.

Vendor yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pendaftaran menerusi Sistem Pengurusan Vendor (Vendor Management System – VMS) di laman sesawang rasmi MAHB.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.