
KUALA LUMPUR, 26 Julai – Kadar tarif import 10 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap barangan Malaysia masih berada pada tahap yang boleh ditanggung oleh industri perniagaan tempatan.
- NCCIM: kadar tarif semasa masih membolehkan pengeksport Malaysia kekal bersaing di pasaran AS.
- Kenaikan tarif melebihi paras semasa dijangka menaikkan kos pembuatan dan menjadikan produk Malaysia lebih mahal di pasaran luar.
- NCCIM menyeru kerjasama lebih erat antara kerajaan, peniaga dan pengusaha serta pengukuhan hubungan perdagangan Malaysia dan AS.
- Kenaikan harga minyak global menambah tekanan kos operasi, mengancam kelangsungan syarikat dan boleh mengurangkan permintaan eksport.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Datuk Seri N Gobalakrishnan berkata, kadar tarif semasa itu memberi ruang kepada pengeksport tempatan untuk terus bersaing di pasaran AS berbanding kadar 19 peratus yang diumumkan sebelum ini.
Bagaimanapun, sebarang kenaikan melebihi kadar tersebut dijangka akan meningkatkan kos pembuatan, sekali gus menyebabkan produk Malaysia dijual pada harga yang lebih mahal di pasaran luar negara.
“Jika kadar tarif kekal pada 10 peratus, saya fikir komuniti perniagaan Malaysia masih bersedia menghadapinya. Namun, jika ia melebihi kadar itu, keadaan akan menjadi lebih sukar memandangkan kos logistik kini semakin meningkat berikutan kenaikan harga minyak.
“NCCIM amat berharap kerjasama antara kerajaan dengan peniaga serta pengusaha tempatan dapat dipertingkatkan. Selain itu, hubungan perdagangan antara Malaysia dan AS juga perlu terus diperkukuh bagi memastikan kadar tarif kekal rendah dan tidak meningkat melebihi 10 peratus,” katanya kepada pemberita RTM.
Tambah beliau, peningkatan tarif bukan sahaja akan menjejaskan pengeksport, malah akan memberi kesan langsung kepada syarikat yang bergantung kepada pasaran luar negara.
Mengulas kenaikan harga minyak mentah dunia yang menghampiri paras AS$100 se tong, Datuk Seri Gobalakrishnan berkata, ia turut menambah tekanan kepada sektor perniagaan berikutan kos operasi dan pengeluaran yang semakin tinggi.
“Jika keadaan ini berterusan, ada syarikat yang mungkin terpaksa gulung tikar. Harga barangan buatan Malaysia juga akan meningkat.
“Apabila dijual di pasaran tempatan, kos itu akhirnya akan ditanggung oleh pengguna. Jika dijual di luar negara pada harga yang lebih tinggi, permintaan daripada pembeli luar negara juga akan berkurangan,” katanya lagi.
Sebelum ini, AS mengumumkan tarif baharu ke atas 60 rakan dagang susulan kebimbangan berkaitan isu buruh paksa, dalam langkah terbaharu pentadbiran Presiden Donald Trump untuk memperkukuh semula agenda perdagangan yang berteraskan perlindungan industri domestik.
Tarif itu melibatkan kadar antara 10 hingga 12.5 peratus dengan Malaysia dikenakan kadar 10 peratus selepas AS mengambil kira komitmen negara dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang berkaitan buruh paksa.