
KUALA LUMPUR, 25 Julai – Keputusan Amerika Syarikat (AS) menetapkan kadar tarif 10 peratus ke atas Malaysia berbanding 12.5 peratus terhadap majoriti ekonomi serantau memberikan kelebihan daya saing relatif yang signifikan buat pengeksport tempatan.
- Kelebihan tarif AS memberi impak positif kepada pengeksport yang beroperasi dengan margin keuntungan kecil, terutamanya sektor E&E dan semikonduktor.
- Pembeli Amerika Syarikat mungkin memindahkan sebahagian tempahan kepada pembekal Malaysia kerana kos keseluruhan menjadi lebih kompetitif.
- Malaysia perlu bina daya saing melalui nilai tambah domestik, pengesanan asal barang, automasi dan kecerdasan buatan, bukan bergantung pada kelebihan tarif sementara.
Menurut Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, meskipun jurang perbezaan tersebut tidak besar, ia mampu memberikan impak besar kepada industri yang beroperasi dengan margin keuntungan kecil kepada beberapa industri.
Situasi itu merupakan ruang terbaik untuk Malaysia memikat pembeli dari Amerika Syarikat yang kini dijangka mengalihkan sebahagian tempahan mereka demi kos yang lebih menarik.
“Walaupun perbezaannya hanya 2.5 mata peratusan, ia boleh memberi impak yang besar kepada industri yang beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil seperti elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta produk pembuatan.
“Dalam keadaan ini, pembeli di Amerika Syarikat berkemungkinan mengalihkan sebahagian tempahan kepada pembekal Malaysia kerana kos keseluruhan menjadi lebih kompetitif,” katanya ketika dihubungi RTM.
Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa kelebihan itu tidak harus dilihat sebagai jaminan yang berkekalan berikutan dasar perdagangan Amerika Syarikat yang kini lebih bersifat melindungi kepentingan industri mereka.
Dalam pada itu, Malaysia juga perlu memastikan pertumbuhan eksport benar-benar hadir daripada aktiviti nilai tambah domestik yang tulen, bukannya sekadar menjadi lokasi transit pemindahan barang bagi mengelak risiko tindakan perdagangan di masa hadapan.
Langkah proaktif seperti memperkasakan sistem pengesanan asal usul produk serta mempercepat pelaburan dalam automasi dan kecerdasan buatan amat kritikal bagi memastikan daya saing negara dibina atas produktiviti, bukannya bersandarkan kelebihan tarif jangka pendek semata-mata.