
KUALA LUMPUR, 25 Julai – Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) dan AirAsia MOVE memeterai kerjasama strategik bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi peruncitan utama melalui integrasi rangkaian runcit dengan ekosistem digital AirAsia MOVE.
- Menjadikan platform pelancongan sebagai pemandu arah digital yang menghubungkan pelancong kepada peluang peruncitan dan maklumat setempat.
- Menekankan pengalaman membeli-belah mendalam bersama jenama tempatan dan antarabangsa sepanjang perjalanan pelancong dari ketibaan hingga pulang.
- Meluaskan jangkauan pasar ahli MRCA, memperkukuh kualiti perkhidmatan serta merangsang perbelanjaan untuk menyokong sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurut Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy, kerjasama tersebut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi peruncitan terkemuka yang menghubungkan rangkaian runcit ahli MRCA dengan pengguna menerusi ekosistem digital AirAsia MOVE.
Ia sekali gus katanya meluaskan fungsi platform pelancongan yang bukan sekadar alat perancangan perjalanan malah, sebagai pemandu arah digital yang menghubungkan pelancong terus kepada peluang peruncitan dan maklumat setempat sepanjang percutian mereka.
“Kita mesti memastikan aktiviti membeli-belah menjadi destinasi utama. Oleh itu, kita boleh mengkaji keseluruhan perjalanan pelancong bermula dari lapangan terbang dan sebaik sahaja mereka mendarat sehinggalah mereka pulang.
“Mereka perlu merasai pengalaman yang mendalam bersama jenama kita, bukan sahaja jenama tempatan, malah jenama antarabangsa yang tersedia di Malaysia yang saya percaya sangat kompetitif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Perikatan Strategik Pelancongan Runcit Malaysia antara MRCA dan AirAsia MOVE di sini.
Melalui inisiatif itu ahli persatuan dapat memperluas jangkauan pasaran mereka di samping memperkukuh kualiti perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelancong domestik serta antarabangsa.
Kerjasama tersebut dijangka memberi manfaat kepada rangkaian MRCA yang merangkumi kira-kira 40,000 premis dan 600 syarikat ahli selain, merangsang perbelanjaan pelancong dalam ekonomi tempatan.
Usaha ini selari dengan sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk menarik 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa dengan 17.5 juta ketibaan direkodkan setakat Mei lalu.