
GLASGOW, 27 Julai – Jaguh angkat berat negara, Aniq Kasdan menyifatkan kejayaan mempertahankan pingat emas di Sukan Komanwel 2026 sebagai satu misi yang berjaya disempurnakan.
- Menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia di Glasgow.
- Mempertahankan gelaran Sukan Komanwel walaupun belum mencapai catatan terbaik peribadi.
- Berdepan tentangan sengit daripada pencabar utama, terutamanya wakil India.
- Memecahkan rekod temasya dengan jumlah angkatan 273kg (121 snatch, 152 clean and jerk) dan dedikasi kepada penyokong.
Atlet berusia 24 tahun itu meluahkan rasa syukur kerana berjaya menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia di Glasgow, sekali gus mempertahankan gelaran yang dimenanginya pada edisi lalu.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel kali ini.
“Secara keseluruhannya, prestasi saya hari ini masih belum mencapai catatan terbaik peribadi (PB), namun misi utama saya adalah untuk mempertahankan pingat emas dan Alhamdulillah, sasaran itu berjaya dicapai,” katanya ketika ditemui RTM di sini.
Aniq berkata, kejayaan itu bukan diraih dengan mudah apabila menerima tentangan sengit daripada pencabar utama, khususnya wakil India yang memberikan saingan hebat sepanjang pertandingan.
Beliau turut mendedikasikan kejayaan tersebut kepada keluarga, jurulatih, rakan sepasukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Institut Sukan Negara (ISN) serta semua pihak di belakang tabir yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang kariernya.
Terdahulu, Aniq muncul juara acara angkat berat lelaki kategori 60 kilogram (kg) selepas melakukan jumlah angkatan keseluruhan 273kg menerusi 121kg dalam acara snatch dan 152kg dalam clean and jerk di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo.
Catatan itu bukan sahaja membolehkan beliau mempertahankan gelaran Sukan Komanwel, malah memecahkan rekod temasya sekali gus menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada edisi kali ini.
Dalam masa sama, Aniq menganggap kejayaan tersebut sebagai pembakar semangat menjelang Sukan Asia yang bakal menjadi cabaran seterusnya.
“Kejayaan ini memberi suntikan semangat kepada saya untuk menghadapi Sukan Asia. Saya akan terus berusaha memberikan yang terbaik dan cuba melakar sesuatu yang istimewa di sana kerana saya sedar saingannya jauh lebih mencabar dengan kehadiran atlet-atlet terbaik Asia,” katanya.