SSM perkenal empat inisiatif perkukuh tadbir urus

RTM

PUTRAJAYA, 16 April Sempena ulang tahun ke-24 Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), empat inisiatif utama diperkenal dalam usaha memperkukuh tadbir urus korporat sekali gus meningkatkan sistem penyampaiannya dalam ekosistem perniagaan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Klinik Pematuhan dan Kempen Pemulihan bantu syarikat hadapi kesulitan mengikut Akta Syarikat 2016, termasuk tawaran kompaun sehingga 98%.
  • Lanjutkan Skim 1 OKU 1 Perniagaan; SPPP dilanjutkan kepada 2 tahun untuk usahawan B40 dan pelajar IPT.
  • Perkenalkan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas bermula 1 Jun 2026 bagi galakkan warga emas berniaga.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata Klinik Pematuhan dan Kempen Pemulihan Serah Simpan Dokumen Statutori diperkenalkan bagi membantu syarikat yang berdepan kesulitan berkait Akta Syarikat 2016, termasuk tawaran kompaun sebanyak 98 peratus bagi kesalahan tertentu.

Selain itu, SSM akan melanjutkan Skim 1 OKU 1 Perniagaan dengan menawarkan pendaftaran dan pembaharuan perniagaan secara percuma kepada golongan berkenaan.

“SSM juga akan melanjutkan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) dari 1 tahun menjadi 2 tahun melibatkan usahawan kumpulan B40 serta pelajar sepenuh masa di IPTA/IPTS, Politeknik, Kolej, Institut Kemahiran dan Pusat Kemahiran,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, bagi menggalakkan golongan warga emas terus menjana pendapatan melalui aktiviti perniagaan, SSM turut memperkenalkan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma Warga Emas (SPPWE) bermula 1 Jun 2026.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Datuk Armizan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga SSM atas komitmen dalam memacu kecemerlangan organisasi serta pembangunan ekonomi negara.

SSM yang ditubuhkan sejak 16 April 2002 komited melaksanakan mandatnya sebagai pendaftar dan pengawal selia korporat negara berpaksikan visi ‘Untuk Menjadi Pendaftar dan Pengawal Selia Korporat Terulung’.