
MELAKA, 26 Julai – Banjir di dua daerah di Melaka pulih sepenuhnya selepas kesemua tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka semalam ditutup sepenuhnya malam ini.
RINGKASAN BERITA AI
- Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka memaklumkan penutupan PPS SK Serkam Darat dan SK Bukit Tembakau pada pukul 6 petang.
- PPS JAPERUN Pantai Kundor di Melaka Tengah ditutup pada pukul 7.52 malam.
- Seramai 123 penduduk daripada 36 keluarga ditempatkan di tiga PPS selepas kediaman mereka dinaiki air.
- Kediaman dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak awal pagi semalam.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, PPS Sekolah Kebangsaan Serkam Darat dan PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Tembakau di daerah Jasin ditutup pada pukul 6 petang.
PPS JAPERUN Pantai Kundor di daerah Melaka Tengah pula ditutup pada pukul 7.52 malam.
Terdahulu, seramai 123 penduduk daripada 36 keluarga ditempatkan di ketiga-tiga PPS berkenaan selepas kediaman mereka dinaiki air akibat hujan lebat berterusan yang melanda beberapa kawasan di negeri itu sejak awal pagi semalam.