Peguam Negara kagum kesiapsiagaan pasukan keselamatan di ESSCOM

Foto FB Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Hubungan strategik antara Jabatan Peguam Negara dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) terus diperkukuh menerusi lawatan kerja dua hari Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ke Lahad Datu dan Semporna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menyaksikan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dalam mempertahankan ESS Zone.
  • Latihan menembak mendedahkan disiplin, kemahiran dan kesiapsiagaan tinggi anggota keselamatan.
  • Merakamkan penghargaan kepada pimpinan ESSCOM dan berharap hubungan erat diperkukuh demi kedaulatan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

Menerusi hantaran di Facebook, Tan Sri Mohd Dusuki berkata lawatan berkenaan memberi banyak pengalaman dan perkongsian bermakna, khususnya apabila beliau berpeluang menyaksikan sendiri kerjasama pelbagai agensi keselamatan dalam mempertahankan Eastern Sabah Security Zone (ESS Zone).

Beliau turut menyifatkan pengalaman menyertai latihan menembak bersama anggota keselamatan sebagai satu sesi yang membuka mata mengenai disiplin, kemahiran dan tahap kesiapsiagaan tinggi yang diperlukan dalam menjaga keselamatan negara.

Dalam lawatan itu, beliau juga menzahirkan keprihatinan terhadap anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di Pulau Mataking dengan menyampaikan Bantuan Kotak Makanan.

“Di sebalik keindahan pulau berkenaan, tersimpan pengorbanan besar wira-wira negara yang sentiasa bersiap siaga memastikan Malaysia terus aman dan berdaulat,”katanya.

Tan Sri Mohd Dusuki turut merakamkan penghargaan kepada Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B. Sanjos, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd Ali, serta seluruh barisan pengurusan dan warga ESSCOM atas jemputan, layanan mesra dan pengisian lawatan yang bermakna.

Beliau berkata ESSCOM sentiasa dekat di hatinya, sambil mengimbau pengalaman terdahulu ketika berganding bahu dengan pasukan berkenaan dalam mencari penyelesaian terbaik demi membela kebajikan anggota keselamatan yang terkorban dalam tragedi Tanduo.

Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sabah, Jabatan Kesihatan Daerah Lahad Datu, Jabatan Kesihatan Daerah Semporna serta Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Naziah Mokhtar, dan warga Jabatan Peguam Negara Negeri Sabah atas kerjasama sepanjang lawatan itu.

Tan Sri Mohd Dusuki berharap hubungan erat antara Jabatan Peguam Negara, ESSCOM dan semua agensi keselamatan akan terus diperkukuh demi menegakkan kedaulatan undang-undang, mempertahankan keselamatan negara dan memelihara kesejahteraan rakyat.
———————————–

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.