
KUALA LUMPUR, 26 Julai – Pengundi awal daripada kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dirayu agar terus memberikan kepercayaan kepada calon-calon HARAPAN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
- Perdana Menteri tekankan setiap undi sebagai amanah untuk memastikan kebajikan anggota pasukan keselamatan serta keluarga terus diperkukuh.
- Beliau mengakui banyak perlu diperbaiki dan usaha kerajaan setakat ini belum memadai.
- Mandat berterusan penting untuk memperhebat usaha mengangkat martabat negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat dan pasukan keselamatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap undi bukan sekadar menentukan hala tuju negeri, malah merupakan amanah bagi memastikan kebajikan anggota pasukan keselamatan serta keluarga mereka terus diperkukuh.
Beliau mengakui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dan usaha yang dilaksanakan kerajaan setakat ini belum memadai.
Menurutnya, sokongan dan mandat berterusan penting bagi membolehkan kerajaan memperhebat usaha mengangkat martabat negara, membela kebajikan rakyat serta meningkatkan kesejahteraan warga pasukan keselamatan.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran video di Facebook, hari ini.
Dalam hantaran sama, Datuk Seri Anwar turut merakamkan penghargaan kepada anggota ATM dan PDRM yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.