Iran sedia hadapi serangan baharu AS-Israel

Foto REUTERS

TEHRAN, 26 Julai – Iran membuat persiapan sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan serangan udara dan operasi darat ketika ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terus memuncak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tehran tidak menolak kemungkinan AS melancarkan serangan baharu selepas pertemuan Netanyahu dengan Trump.
  • Washington dikatakan tiada strategi jelas; pilihan termasuk berundur, serangan udara berskala besar atau operasi darat.
  • Iran mendakwa konflik meluas hingga Selat Bab al-Mandeb, operasi merangkumi sasaran dari Jordan ke pesisir Teluk Parsi.

Jurucakap Angkatan Bersenjata Iran, Abolfazl Shekarchi berkata Tehran tidak menolak kemungkinan AS akan melancarkan serangan baharu.

Pada masa sama katanya Washington juga mempunyai pilihan untuk menarik diri daripada konflik tersebut.

“AS ketika ini mempertimbang strategi baharu dan rakyat tidak seharusnya menolak kemungkinan yang Washington akan menarik diri. Bagaimanapun, tindakan itu bergantung atas persetujuan Israel,” katanya.

Benjamin Netanyahu dijadual mengadakan lawatan ke Washington untuk bertemu Presiden AS, Donald Trump pada 28 Julai.

Menurut Shekarchi, Iran menjangkakan kemungkinan serangan udara atau operasi darat yang baharu akan dilancarkan selepas pertemuan tersebut.

Selain itu, beliau turut mendakwa AS gagal mencapai objektifnya di Selat Hormuz serta usaha melemahkan Iran, sekali gus memaksa Washington mencari strategi baharu.

Sementara itu, jurucakap tentera Iran, Mohammad Akraminia berkata AS tidak mempunyai sebarang strategi yang jelas dalam konflik berkenaan.

“Washington mempunyai beberapa pilihan termasuk berundur daripada konflik, melancarkan serangan udara berskala besar di bawah tekanan Israel atau memulakan operasi darat,” jelasnya.

Akraminia berkata Iran sedang memantau langkah AS yang seterusnya selain membuat persediaan bagi semua kemungkinan.

Beliau turut mendakwa kawasan konflik kini telah meluas sehingga ke Selat Bab al-Mandeb dengan operasi Iran merangkumi sasaran AS dari Jordan hingga ke pesisir Teluk Parsi.

Akraminia memberi amaran bahawa jika AS meneruskan tindakan ketenteraan terhadap Iran, skop konflik akan terus berkembang dan membawa akibat yang lebih buruk. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.