Mandat biodiesel B15 sokong harga sawit, kurangkan import diesel

Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Barjoyai Bardai/RTM

KUALA LUMPUR, 16 April -Cadangan peningkatan mandat campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 disifatkan sebagai langkah strategik yang mampu menyokong harga minyak sawit serta menstabilkan pendapatan pekebun dalam jangka sederhana dan panjang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan berperingkat B15 dijangka tingkatkan penggunaan minyak sawit domestik lebih satu juta tan setahun, kurangkan lebihan eksport dan stabilkan harga.
  • Meningkatkan kestabilan pendapatan pekebun kecil melalui harga lebih stabil serta mengurangkan kebergantungan kepada pasaran eksport.
  • Memperkukuh fiskal dengan mengurangkan import diesel dan tekanan subsidi, tetapi kerajaan perlu nilai keseimbangan antara makanan dan bahan bakar jangka panjang.

Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Barjoyai Bardai berkata, pelaksanaan secara berperingkat itu dijangka meningkatkan penggunaan minyak sawit domestik sehingga lebih satu juta tan setahun.

Ini sekali gus membantu mengurangkan lebihan eksport dan menstabilkan harga komoditi .

“Walaupun pertambahan ini tidak sebenarnya mencetuskan lonjakan harga jangka pendek tetapi ia akan mengurangkan lebihan eksport bagi minyak kelapa sawit dan meletakkan lantai harga untuk minyak sawit mentah (CPO) atau minyak sawit dan ia juga akan mengurangkan volatiliti ketika permintaan global melemah,” katanya kepada RTM.

Beliau menambah, peningkatan permintaan domestik juga dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan pekebun kecil melalui kestabilan harga, selain mengurangkan kebergantungan kepada pasaran eksport.

Pada masa sama, katanya pelaksanaan B15 berpotensi memperkukuh fiskal negara dengan mengurangkan import diesel serta tekanan subsidi.

Namun, beliau mengingatkan bahawa dalam jangka panjang, kerajaan perlu menilai keseimbangan antara penggunaan minyak sawit sebagai sumber makanan dan bahan bakar .

Secara keseluruhan, beliau berkata langkah ini menyokong kestabilan harga minyak sawit, meningkatkan pendapatan pekebun serta membantu menampan tekanan fiskal ketika ketidaktentuan pasaran tenaga global.