
KUALA LUMPUR, 16 April – Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, meningkat 4.2 peratus berbanding RM1.8 bilion pada tahun sebelumnya.
- Pengumuman pembayaran dividen 18% berjumlah RM534.7 juta kepada 783,324 anggota, tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
- Aset kumpulan meningkat 6.6% kepada RM131 bilion dan pembiayaan kasar berkembang 8.6% kepada RM93.3 bilion, melepasi purata industri.
- Komitmen memperkukuh peranan institusi kewangan Islam, memfokuskan pemerkasaan PMKS, koperasi, pendigitalan dan pendapatan bukan berasaskan pembiayaan.
Prestasi itu disokong asas kukuh kumpulan, pertumbuhan aktiviti teras serta keadaan ekonomi domestik yang bertambah baik, meskipun berdepan ketidaktentuan persekitaran ekonomi global dan cabaran sektor perbankan.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, jumlah aset kumpulan meningkat 6.6 peratus kepada RM131 bilion, manakala pembiayaan kasar berkembang 8.6 peratus kepada RM93.3 bilion, melepasi purata industri.
Beliau berkata, prestasi itu turut dipacu oleh kepelbagaian portfolio pembiayaan serta pengukuhan kualiti aset secara keseluruhan.
“Keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi ini dicapai melalui kekuatan asas kumpulan serta fokus terhadap aktiviti teras, disokong keadaan ekonomi domestik yang bertambah baik.
Kumpulan kekal berdaya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan persekitaran ekonomi global dan cabaran sektor perbankan,” katanya pada Sidang Media Pengumuman Prestasi Kewangan dan Dividen Kumpulan Bank Rakyat bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2025 di ibu negara, hari ini.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 18 peratus berjumlah RM534.7 juta, yang merupakan tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
Beliau berkata, pembayaran itu akan memanfaatkan seramai 783,324 anggota, selaras peranan Bank Rakyat sebagai institusi kewangan milik anggota yang memberi keutamaan kepada kepentingan ekonomi rakyat.
“Saya dengan bangganya mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 18 peratus berjumlah RM534.7 juta kepada 783,324 anggota yang layak bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025. Ini merupakan yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun lepas,” katanya.
Dalam pada itu, Bank Rakyat turut menyalurkan RM57 juta kepada dana koperasi, merangkumi sumbangan kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi, sebagai sokongan kepada ekosistem koperasi negara.
Bank berkenaan turut menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh peranannya sebagai institusi kewangan Islam, dengan tumpuan kepada pemerkasaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi, selain memperluas pendigitalan dan pendapatan bukan berasaskan pembiayaan.