Ekonomi kitaran optimum penggunaan sumber, perkukuh ketahanan negara

Ekonomi kitaran dapat mengurangkan impak ketidaktentuan global

KUALA LUMPUR, 16 April – Peralihan kepada ekonomi kitaran merupakan langkah penting bagi memperkukuh ketahanan ekonomi negara, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ekonomi kitaran mengoptimumkan penggunaan sumber melalui guna semula, kitar semula dan pengurangan sisa.
  • Ia mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar dan mengurangkan risiko akibat ketidaktentuan global.
  • Kejayaan memerlukan teknologi, sokongan sistem sosial budaya serta pengukuhan Tanggungjawab Pengeluar Diperluas untuk pertumbuhan mampan.

Penyelidik Pelawat daripada Jabatan Pengurusan Teknologi untuk Inovasi, Fakulti Pascasarjana Kejuruteraan, Universiti Tokyo, Profesor Zainal Abidin Sanusi berkata, ekonomi kitaran berperanan mengoptimumkan penggunaan sumber melalui konsep guna semula, kitar semula dan pengurangan sisa, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.

“Dalam menangani ketidaktentuan semasa, pengaktifan dan pengintensifan ekonomi kitaran merupakan salah satu pendekatan penting untuk memastikan kita tidak terlalu bergantung kepada sumber luar.

“Ia juga dapat mengurangkan impak ketidaktentuan global kerana kita mempunyai sumber sendiri, sekurang-kurangnya bagi membantu mengurangkan risiko terhadap ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi RTM dalam program Biz Malaysia.

Mengulas mengenai pengalaman Jepun, beliau berkata, kejayaan negara itu dalam pengurusan sumber bukan hanya bergantung kepada teknologi, tetapi turut disokong oleh sistem sosial dan budaya yang kukuh dalam amalan kitar semula harian.

Profesor Zainal Abidin turut menekankan keperluan Malaysia untuk memperkukuh konsep Tanggungjawab Pengeluar Diperluas (EPR) bagi memastikan ekonomi kitaran dapat menjadi pemacu pertumbuhan mampan dalam tempoh jangka panjang.