F1 kembali ke Malaysia Oktober depan

Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal membuat kemunculan semula dalam kalendar Formula Satu (F1) selepas disahkan sebagai lokasi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia pada 2 hingga 4 Oktober depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlumbaan disahkan, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir dan kelulusan rasmi Majlis Sukan Permotoran Dunia.
  • Acara ditempatkan antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura; baki kalendar 2026 kekal tidak berubah.
  • Kerjasama Formula 1, FIA, Bahrain dan Malaysia memastikan pusingan yang hampir dibatalkan dapat diteruskan serta mengekalkan kalendar penuh.
  • Pemimpin negara dan Ketua Pegawai Eksekutif F1 memuji kepulangan sukan itu; maklumat penjualan tiket akan diumumkan tidak lama lagi.

Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam satu kenyataan bersama memaklumkan perlumbaan itu akan diadakan di Sepang, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan rasmi Majlis Sukan Permotoran Dunia (World Motor Sport Council).

Perlumbaan berkenaan akan berlangsung di antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura, manakala baki kalendar Formula 1 musim 2026 kekal tidak berubah.

Menurut kenyataan itu, kerjasama yang dimeterai antara Formula 1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Malaysia membolehkan satu pusingan perlumbaan yang berdepan risiko pembatalan diteruskan, sekali gus memastikan kalendar Formula 1 musim 2026 kekal lengkap.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berbesar hati menerima kepercayaan untuk menjadi tuan rumah kepada perlumbaan berprestij itu.

“Kerjasama ini melebihi penganjuran acara sukan bertaraf dunia. Ia mencerminkan keakraban, kepercayaan dan rakan strategik yang kukuh antara Malaysia dan Bahrain, sekali gus mengesahkan ketersediaan serta keupayaan Malaysia mengendalikan acara sukan berskala besar.

“Malaysia bersedia menyambut kehadiran warga F1, FIA, pasukan serta peminat dari seluruh dunia kembali ke Sepang. Kami tidak sabar untuk mempamerkan fasiliti bertaraf dunia, kecekapan operasi dan kemampuan kemudahan negara,” katanya.

Beliau berkata penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Sepang bukan sekadar acara sukan bertaraf dunia, malah mencerminkan keyakinan terhadap kemampuan Malaysia menganjurkan acara antarabangsa berskala besar.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali pula menyifatkan kepulangan Formula 1 ke Sepang sebagai berita menggembirakan buat peminat sukan permotoran di seluruh dunia.

“Ini adalah berita luar biasa buat para peminat. Mereka bukan sahaja dapat menikmati kalendar perlumbaan yang padat, malah menyaksikan sukan ini kembali ke venue yang hebat.

“Malaysia sebuah negara yang menakjubkan dan Sepang mempunyai tempat yang istimewa dalam sejarah F1,” ujarnya.

Maklumat berhubung penjualan tiket bagi perlumbaan berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.