Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia 2026: Skuad badminton remaja negara cemerlang raih tiga gelaran

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Skuad badminton remaja negara menutup tirai Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia 2026 dengan cemerlang apabila menyapu bersih tiga daripada lima gelaran yang dipertandingkan di Stadium Titiwangsa, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Irfan Shazmir dan Nur Aina Maisarah Hatta menang beregu campuran, menewaskan Ahmad Redzuan-Teh Si Yan 21-12, 21-18.
  • Ahmad Redzuan dan Isyraf Hafizin menjuarai beregu lelaki selepas menumpaskan Damien Ling-Irfan Shazmir 21-18, 21-10.
  • Tiew Wei Jie menjuarai perseorangan lelaki, menyifatkan persiapan mental dan fizikal serta kajian corak lawan sebagai kunci kejayaan.

Kejuaraan beregu campuran menjadi milik Malaysia selepas perlawanan akhir menemukan dua gandingan tuan rumah.

Gandingan pilihan kedua, Irfan Shazmir-Nur Aina Maisarah Hatta mencipta kejutan menewaskan pasangan pilihan pertama, Ahmad Redzuan-Teh Si Yan, 21-12, 21-18 dalam tempoh 30 minit.

Dominasi Malaysia diteruskan menerusi beregu lelaki yang bertemu sesama sendiri dengan Ahmad Redzuan-Isyraf Hafizin menumpaskan Damien Ling-Irfan Shazmir 21-18, dan 21-10.

Perseorangan lelaki negara, Tiew Wei Jie melengkapkan gelaran ketiga selepas menewaskan pilihan kedua Thailand, Punnatat Prempunpong, 21-16 dan 21-11 pada masa 47 minit.

Impian Malaysia menambah gelaran dalam acara beregu wanita tidak menjadi kenyataan apabila gandingan Rachel Tan-Xin Yin Teh terpaksa akur selepas tewas kepada pasangan Thailand, Chantharat Marndakul-Pearploy Suttiwarayanon, 15-21, 12-21.

Dalam pada itu, gelaran perseorangan wanita menjadi milik pemain Thailand, Kungkaew Kakanik selepas menewaskan wakil Taiwan, Chin Yun Cheng, 21-19, 21-15.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Tiew Wei Jie menyifatkan persiapan mental dan fizikal yang dijalaninya sebelum kejohanan menjadi kunci buatnya untuk bergelar juara.

“Untuk kejohanan ini saya ambil pendekatan selangkah demi selangkah, apabila berjaya ke perlawanan akhir. Memang sasaran saya untuk menang.

“Saya juga telah mengkaji corak permainan lawan dan saya cuba memberi tekanan kepadanya,” kata Wei Jie kepada pemberita selepas perlawanan.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.