Malaysia sedia sambut kehadiran semula F1- PM

Foto Facebook rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan Malaysia bersedia menyambut kembali perlumbaan Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik dengan Bahrain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri merakamkan penghargaan kepada Tuanku, kerajaan dan rakyat Bahrain serta pihak Formula 1 atas kepercayaan diberikan.
  • Penganjuran acara bertaraf dunia mencerminkan hubungan erat, persahabatan berpanjangan dan keyakinan terhadap kemampuan Malaysia menganjurkan acara antarabangsa.
  • Negara menekankan keupayaan infrastruktur bertaraf dunia, kecekapan operasi dan layanan hospitaliti untuk menerima pasukan serta peminat antarabangsa.

Menurut beliau, perkara itu dizahirkan susulan perbualan telefon bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Salman bin Hamad Al Khalifa, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuanku serta kerajaan dan rakyat Bahrain atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia. Kita berbesar hati menyokong Bahrain, Formula 1 dan FIA dalam menjayakan Grand Prix Formula 1 Teluk Bahrain di Sepang tahun ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Perdana Menteri berkata, penganjuran semula acara bertaraf dunia itu bukan sekadar platform sukan, sebaliknya mencerminkan hubungan erat serta kepercayaan antara Malaysia dan Bahrain yang terus diperkukuh.

“Kerjasama ini melambangkan persahabatan berpanjangan serta keyakinan terhadap keupayaan Malaysia menganjurkan acara antarabangsa berprestij,” katanya.

Beliau turut menegaskan Malaysia bersedia dari segi infrastruktur bertaraf dunia, kecekapan operasi serta layanan hospitaliti untuk menerima kehadiran pasukan dan peminat dari seluruh dunia.

“Kita menantikan untuk mengalu-alukan kembali Formula 1 ke Sepang, di samping mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara melalui acara istimewa ini,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.