KelSDeaf kekurangan dana, rayu sumbangan anjur Kejohanan Futsal Orang Pekak Malaysia

Foto RTM

KOTA BHARU, 26 Julai – Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Kelantan (KelSDeaf) memerlukan dana sebanyak RM100,000 bagi merealisasikan penganjuran Kejohanan Futsal Orang Pekak Malaysia Kali Ke-6 2026 yang dijadualkan berlangsung 1 hingga 6 September depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KelSDeaf merayu syarikat korporat, usahawan dan individu prihatin tampil menaja kejohanan.
  • Penganjur berjaya mengurangkan kos penganjuran tanpa menjejaskan kualiti acara.
  • Kejohanan menjadi medan mencungkil bakat untuk skuad negara ke kejohanan serantau dan antarabangsa.
  • Atlet Kelantan berlatih secara kendiri akibat kekangan dana; latihan berpusat akan dijalankan bila hampir acara.

Presiden KelSDeaf, Saiful Helmie Dzamani berkata, biarpun berbangga diberi kepercayaan menjadi tuan rumah temasya berkenaan buat kali pertama, isu kewangan kekal menjadi cabaran utama pihak penganjur.

Sehubungan itu, beliau merayu pembabitan syarikat korporat, usahawan serta individu prihatin untuk tampil menghulurkan sumbangan penajaan.

“Sekarang kita dah hantar (permohonan) pada mana-mana syarikat tetapi masih belum ada kata putus. Jika kita dapat bertemu atau perjelaskan berkenaan kejohanan ini, mungkin sedikit sebanyak dapat pencerahan atau membantu.

“Cuma orang pekak ini tidak pandai dari segi publisiti dan komunikasi, tetapi dari segi promosi sukan kita mampu untuk menarik penyertaan atau menganjurkan kejohanan ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.

Ujar Saiful Helmie pihaknya telah berjaya mengurangkan kos penganjuran kepada RM100,000 berbanding kos asal yang menelan belanja RM200,000 tanpa menjejaskan kualiti penganjuran.

Jelas beliau, pertandingan berkenaan bakal menjadi medan penting mencungkil bakat baharu untuk diserapkan ke skuad negara bagi menghadapi Sukan Orang Pekak Asean, Kejohanan Asia Pasifik dan Deaflympics.

Tambah beliau, setakat ini, sebanyak tujuh pasukan lelaki termasuk Sabah dan Sarawak serta empat pasukan wanita telah mengesahkan penyertaan pada kejohanan tersebut dengan pendaftaran masih dibuka hingga 10 Ogos dengan sasaran penyertaan daripada 14 negeri.

Sementara itu, mengulas persiapan pasukan Kelantan, beliau berkata para atlet ketika ini menjalani latihan secara kendiri akibat kekangan dana.

Jelasnya, latihan berpusat akan diadakan apabila kejohanan semakin hampir.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap atlet orang pekak diberikan layanan sama rata dalam pembangunan sukan negara termasuk akses kepada kemudahan latihan serta pengiktirafan setanding atlet lain.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.