
KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Skuad Johor Tigers dijangka berdepan kesukaran menjelang Kejohanan Ragbi 7 Sebelah (7s) Kebangsaan 2026 susulan ketiadaan empat tonggak utama akibat masalah kecederaan.
- Johor gabungkan pemain senior dan bakat SUKMA untuk menampung kekosongan akibat kecederaan.
- Johor diundi dalam Kumpulan B bersama juara Kelantan, Selangor dan Pahang, dianggap kumpulan maut.
- Fasa awal latihan terganggu akibat jerebu, memaksa sesi latihan fizikal beralih ke venue tertutup.
Naib Presiden Kesatuan Ragbi Johor (JRU), Mohd Najib Johan berkata, kesemua pemain terbabit mengalami kecederaan ketika menggalas tanggungjawab bersama skuad kebangsaan, baru-baru ini.
Bagi menampung kelompangan itu, Johor mengambil pendekatan mempertaruhkan gabungan pemain senior dan bakat muda, khususnya daripada skuad Sukan Malaysia (SUKMA) lalu.
“Kali ini kita kekurangan pemain akibat kecederaan ketika beraksi bersama Malaysia. Jadi, kita akan gabungkan pemain senior dan junior daripada skuad SUKMA untuk memperkuatkan pasukan.
“Setiap pasukan yang bertanding kali ini mempunyai kekuatan tersendiri, namun kami akan tetap berjuang habis-habisan,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian kejohanan di Wisma OCM, pada Rabu.
Mengulas mengenai undian, Mohd Najib menyifatkan Johor diundi dalam ‘kumpulan maut’ bersama juara bertahan, Kelantan serta dua lagi pencabar sengit, Selangor dan Pahang dalam Kumpulan B.
Beliau turut memaklumkan bahawa fasa awal latihan pasukan sedikit terganggu susulan fenomena jerebu yang memaksa sesi latihan fizikal beralih ke venue tertutup.
Sementara itu, juara bertahan, Kelantan turut menjangkakan cabaran sengit dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi selepas menewaskan Johor pada edisi lalu.
Pengarah Sukan Persatuan Ragbi Negeri Kelantan, Muhamad Anuar Che Wahab mengakui saingan Kumpulan B menuntut persiapan rapi, selain pasukannya perlu menyesuaikan diri dengan ketetapan baharu berkaitan had penggunaan pemain kebangsaan.
“Ketetapan mengenai penggunaan pemain kebangsaan sedikit sebanyak mengganggu persiapan kerana tahun lalu kami memiliki kira-kira tujuh pemain kebangsaan.
“Namun, kami akan turun dengan barisan pemain yang ada dan bersedia memberikan saingan terbaik,” kata Muhamad Anuar Che Wahab
Skuad Kelate Rugby menyasarkan sekurang-kurangnya melangkah ke perlawanan akhir.
Kejohanan anjuran Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu itu menghimpunkan 39 pasukan merentasi empat kategori iaitu Terbuka Lelaki dan Wanita serta Bawah 20 Tahun Lelaki dan Wanita.
Kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Kuala Nerus, Terengganu dari 13 hingga 15 November ini turut menjadi medan pemantauan serta pemilihan bakat bagi pembentukan skuad kebangsaan menjelang temasya Sukan SEA 2027.