
ARAU, 26 Julai – Pasukan negara dan gandingan Chinese Taipei mempamerkan kehebatan masing-masing apabila dinobatkan sebagai juara bagi kategori beregu campuran terbuka dan remaja pada Kejohanan Woodball Terbuka Malaysia Antarabangsa Ke-26 di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) semalam (Sabtu).
- Zulfikar Rajamohan Abdullah dan Widilestari Setianningsih mencatat 102 pukulan bagi kategori beregu campuran terbuka.
- Beregu Chinese Taipei, Wang Yan Ren dan Yen Hsin Yi merekodkan 112 pukulan untuk menjuarai kategori remaja, mengatasi wakil Malaysia dengan satu pukulan.
- Pengarah kejohanan Muhamad Azan Yaakob bersyukur dapat menghabiskan acara hari pertama walaupun menghadapi cuaca tidak menentu.
- Saingan menampilkan 31 beregu terbuka, 11 beregu remaja dan 95 pemain dalam pusingan pertama kategori perseorangan Piala Dunia.
Gandingan negara, Zulfikar Rajamohan Abdullah dan Widilestari Setianningsih cemerlang mengungguli kategori campuran beregu terbuka selepas mencatatkan 102 pukulan.
Kedudukan kedua menjadi milik gandingan Hong Kong, Har Cheuk Kin dan Wong Hiu Yang yang mencatatkan 108 pukulan, mengatasi beregu Chinese Tapei, Tsai Meng Hung dan Lin Yu Wen di tempat ketiga.
Bagi kategori remaja, giliran beregu Chinese Taipei, Wang Yan Ren dan Yen Hsin Yi muncul juara dengan 112 pukulan, mengatasi cabaran sengit beregu negara, Muhammad Afif Zainuddin dan Nur Atriffa Shiffa Azizan dengan 113 pukulan.
Gandingan Selangor, Bryan Lee Wei Soon dan Mor Gui Li berada di tempat ketiga selepas merekodkan 124 pukulan.
Dalam pada itu, Pengarah Kejohanan, Muhamad Azan Yaakob berkata, penganjur bersyukur dapat menyempurnakan saingan hari pertama bagi kategori berkenaan berdepan ujian cuaca yang tidak menentu.
“Walaupun dalam keadaan cabaran cuaca, kami berjaya menghabiskan acara tersebut untuk hari yang pertama.
“Begitu juga untuk Terbuka Malaysia , kita telah langsungkan acara beregu campuran lelaki, wanita dan juga beregu campuran remaja lelaki dan wanita, seterusnya mendapat keputusan bagi kejohanan yang dilangsungkan,” katanya.
Saingan bagi kategori Terbuka Malaysia menampilkan penyertaan sebanyak 31 beregu bagi kategori terbuka dan 11 beregu bagi kategori remaja.
Tumpuan kejohanan hari ini beralih kepada pusingan pertama kategori perseorangan lelaki dan wanita Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-10 yang melibatkan penyertaan seramai 95 pemain.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Indonesia, Ivan Rivan Firda mengakui saingan edisi kali ini amat sengit dengan kehadiran kuasa baharu woodball dunia, selain kehebatan wakil Asia dan pasukan tuan rumah.
“Secara persaingan cukup ketat. Pasukan Kenya dan Uganda dari Afrika ternyata memberikan persaingan yang cukup sengit. Pasukan dari Asia seperti Hong Kong, Taipei, Thailand dan tuan rumah Malaysia turut mempertaruhkan atlet-atlet yang amat berkualiti,” jelasnya.