
SEPANG, 26 Julai – Lebih banyak syarikat korporat dan organisasi diharap dapat meneruskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menaja atlet negara mengerjakan ibadah umrah sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka mengharumkan nama Malaysia.
- YAKEB menjalin kerjasama strategik dengan tajaanikhlas.com dan Fakulti Sains Sukan UiTM untuk mendapatkan penajaan tambahan bagi atlet terpilih.
- Program membuka peluang kepada atlet yang belum pernah menunaikan umrah dan menjadi simbol penghargaan terhadap pengorbanan mereka.
- Inisiatif inklusif bukan terhad kepada atlet Islam; YAKEB juga menghantar atlet India menunaikan ibadat mereka di negara asal.
- Maklum balas positif mendorong YAKEB merancang pengembangan kerjasama dengan lebih banyak agensi dan syarikat untuk manfaat lebih ramai atlet.
Harapan itu dinyatakan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Katanya, antara inisiatif yang giat dilaksana ialah kerjasama strategik tajaanikhlas.com dengan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi mendapatkan penajaan tambahan bagi atlet terpilih.
Program berkenaan bukan sahaja membuka peluang kepada atlet yang belum pernah menunaikan umrah, malah menjadi simbol penghargaan terhadap pengorbanan mereka sepanjang mewakili negara di pentas dunia.
“Kita berharap dapat meneruskan projek-projek atau program seperti ini dengan beberapa agensi yang lain. Malah bukan sahaja khusus kepada atlet Islam, kerana kita juga pernah mengadakan satu program dengan menghantar atlet India mengerjakan ibadah mereka di negara India,” katanya.
Datuk Ahmad Shapawi berkata demikian kepada media selepas majlis pelepasan 22 atlet penerima tajaan umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Tambah beliau, hasil maklum balas yang positif sebelum ini menjadi pendorong kepada YAKEB untuk memperluaskan kerjasama dengan lebih banyak agensi serta syarikat supaya lebih ramai atlet dapat menerima manfaat pada masa hadapan.