
PETALING JAYA, 26 Julai – Kontinjen Selangor kini bersedia sepenuhnya untuk menghadapi cabaran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, dengan segala persiapan menjelang temasya itu kini berjalan lancar.
- Latihan atlet, pengurusan pasukan dan penyelarasan logistik berada pada tahap terbaik bagi memastikan penyertaan kontinjen berjalan lancar.
- Infrastruktur di setiap 10 PBT telah dinaik taraf untuk SUKMA dan selepas ini boleh dimanfaatkan oleh orang awam.
- Lima fasiliti sukan MBPJ dipilih sebagai venue utama termasuk stadium bola sepak, stadium hoki, kompleks sukan, tenis, skuasy dan BMX.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, latihan atlet, pengurusan pasukan serta penyelarasan logistik berada pada tahap terbaik bagi memastikan penyertaan kontinjen tuan rumah berlangsung dengan baik.
“Alhamdulillah, di setiap 10 PBT yang kita kunjungi, segala persiapan infrastruktur yang akan kita gunakan berada dalam keadaan baik dan cukup sempurna, bukan sahaja untuk SUKMA tetapi juga bagi kejohanan lain yang boleh menggunakan kemudahan tersebut.
“Di setiap PBT, kemudahan yang kita naik taraf ini bukan sekadar untuk persiapan SUKMA semata-mata, tetapi selepas ini orang awam juga boleh menggunakan dan memanfaatkan kemudahan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Jelajah Larian Obor SUKMA 2026 di Dataran Petaling Jaya yang disertai kira-kira 800 peserta.
Pada majlis itu, obor SUKMA diserahkan daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai simbol kesinambungan jelajah yang melibatkan 12 PBT di Selangor.
Sementara itu, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon berkata, lima fasiliti sukan milik MBPJ dipilih sebagai venue bagi beberapa acara SUKMA Selangor 2026.
“MBPJ mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memilih Petaling Jaya sebagai lima venue utama iaitu Stadium Bola Sepak, Stadium Hoki, Kompleks Sukan Astaka bagi acara skuasy, Kompleks Kelana Jaya untuk tenis serta Kompleks Arena bagi BMX.
“Persiapan kita kini sudah bersedia untuk menyambut tetamu dan atlet bagi tujuan SUKMA 2026,” katanya.