
SEREMBAN, 22 Oktober – Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak bercadang memperkenalkan nombor plat mengikut nama individu.
- Sistem pendaftaran sedia ada menggunakan kombinasi awalan huruf dan nombor akan dikekalkan.
- MOT akan meneruskan pengeluaran dua hingga tiga siri nombor pendaftaran khas setiap tahun.
- Siri nombor pendaftaran khas H pada September menjana hasil sebanyak RM91.2 juta untuk kegunaan bantuan pemandu.
Meskipun kaedah itu berpotensi menjana pendapatan lebih tinggi kepada negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sistem yang menggunakan kombinasi abjad dan angka akan dikekalkan.
“Jadi, itu memang sistem pendaftaran kenderaan kita sejak berpuluh tahun yang lalu. Kita memang menggunakan awalan huruf sebagai kombinasi abjad dengan nombor, jadi kita akan mengekalkan sistem itu.
“Tidak ada cadangan untuk mengeluarkan nombor plat mengikut nama walaupun ia mungkin membawa lebih banyak hasil, kerana kita merasakan sistem sedia ada perlu dikekalkan,” katanya pada Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Dewan Majlis Bandaraya Seremban.
Dalam pada itu, MOT akan meneruskan pengeluaran dua hingga tiga siri nombor pendaftaran khas setiap tahun, dengan hasil kutipan digunakan untuk membantu golongan pemandu.
Siri nombor pendaftaran khas H yang diperkenalkan pada September lalu berjaya menjana hasil sebanyak RM91.2 juta.