
KUALA LUMPUR, 26 Julai – Kepulangan saingan Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Oktober ini dijangka mencetuskan kebangkitan semula demam sukan permotoran, khususnya dalam kalangan generasi baharu dan peminat tegar F1 di rantau Asia.
- MAM menyambut baik pengumuman rasmi oleh FIA, Litar Antarabangsa Bahrain dan Kerajaan Malaysia.
- Peminat, termasuk yang kenal melalui siri Drive to Survive, dapat merasai pengalaman F1 secara langsung.
- MAM menggesa persiapan rapi supaya kehadiran perlumbaan dapat diraikan secara meriah.
- SIC dikatakan masih memenuhi piawaian antarabangsa tanpa memerlukan kos naik taraf besar, kakitangan juga bersedia.
Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir menyifatkan pengumuman rasmi oleh penganjur F1, Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Litar Antarabangsa Bahrain dan Kerajaan Malaysia itu sebagai khabar gembira yang sekian lama dinantikan selepas hampir sedekad SIC ‘menyepi’ daripada kalendar F1.
“Ia akan disambut ramai peminat sukan bermotor di Malaysia dan rantau Asia. Inilah perkara yang ditunggu-tunggu peminat baharu F1 yang mengenali sukan ini menerusi siri Netflix: Drive to Survive untuk merasai sendiri pengalaman F1 secara langsung di SIC, bukan sekadar di TV atau komputer.
“Jadi kita perlu bersiap sedia untuk memastikan kehadiran perlumbaan ini pada Oktober depan dapat diraikan secara meriah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ujar beliau, selain mengembalikan nostalgia peminat setia, penganjuran kali ini adalah peluang keemasan untuk membuktikan negara masih berkeupayaan mengendalikan kejohanan berprestij dunia.
Malah, beliau berharap kejayaan penganjuran itu nanti mampu membuka mata pelbagai pihak untuk membawa kembali hak penganjuran tetap F1 ke Malaysia pada masa akan datang.
Mengulas mengenai tahap kesiapsiagaan kemudahan litar, Mokhzani yakin SIC masih mengekalkan gred piawaian antarabangsa tanpa memerlukan suntikan kos naik taraf yang besar.
“Bagi saya, MAM perlu memastikan semua kakitangan serta infrastruktur di Litar Antarabangsa Sepang masih memenuhi piawaian untuk menganjurkan Formula 1. Saya yakin kita sudah bersedia dan tidak memerlukan kos naik taraf yang besar. Semua kakitangan di SIC juga bersedia untuk menerima kepulangan Formula 1 pada Oktober nanti” katanya.
SIC pernah menjadi lokasi tetap kalendar F1 selama 19 tahun berturut-turut bermula dari 1999 sebelum penganjurannya dihentikan pada 2017.