Ragbi NRDP B-18: Kedah muncul juara lelaki dan wanita

Foto RTM

SERDANG, 26 Julai – Kedah muncul juara berganda bagi kategori lelaki dan wanita bawah 18 tahun dalam Kejohanan Ragbi NRDP 7’s Kebangsaan B-18 yang melabuhkan tirainya di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Johor membawa pulang pingat gangsa bagi kategori lelaki.
  • Melaka menamatkan saingan di kedudukan ketiga bagi kategori wanita.
  • Pengurus NRDP Mohd Irwan berpuas hati; mutu permainan meningkat, kecederaan serius rendah dan banyak bakat baharu ditemui.
  • KRM menyasarkan separuh akhir Asia Rugby B-18 Sevens di Qingdao; pemilihan awal 18 dipendekkan kepada 13, latihan pusat di UPM Ogos-September.

Pada perlawanan akhir itu, skuad lelaki Kedah menang bergaya apabila menundukkan Selangor dengan keputusan 24-5.

Kecemerlangan itu diteruskan oleh pasukan wanitanya yang berjaya menewaskan Johor 17-7 dalam perlawanan akhir sekali gus mengesahkan kejuaraan.

Manakala Johor pasukan lelaki Johor berjaya membawa pulang pingat gangsa, manakala kategori wanita menyaksikan Melaka menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

Sementara itu, Pengurus Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NRDP), Mohd Irwan Abdol berpuas hati dengan penganjuran edisi kali ini yang dianggap mencapai objektif, khususnya dalam mencungkil bakat baharu.

“Secara keseluruhan mutu permainan memang meningkat, kita tengok permainan berbeza jauh berbanding tahun lepas dari segi teknik dan keselamatan, kadar kecederaan serius adalah rendah kerana pemain telah menguasai kemahiran asas dengan baik.

“Pemain-pemain di sini merupakan kelompok bakat yang berbeza daripada skuad SUKMA, Jadi kita dapat lihat banyak bakat baharu muncul, terutama peningkatan pasukan wanita seperti Melaka dan Pahang yang mampu melangkah sehingga ke separuh akhir,” katanya ketika di temui selepas kejohanan di sini.

Dalam pada itu, Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menyasarkan skuad lelaki dan wanita untuk mara ke peringkat separuh akhir bagi Kejohanan Asia Rugby Emirates Bawah 18 Tahun (B-18) Sevens yang bakal berlangsung di Qingdao, China pada 5 dan 6 September ini.

Presiden KRM, Amir Amri berkata, pihaknya telah mengenal pasti barisan pemain berpotensi yang akan menggalas cabaran negara pada kejohanan berkenaan.

“Untuk pemilihan kali ini, kita akan memilih seramai 18 orang. Kemudiannya kita akan pilih seramai 13 orang untuk disenarai pendek ke Qingdao, China nanti.” katanya yang ditemui selepas berakhirnya Kejohanan Ragbi NRDP Kebangsaan 7’s di sini.

Menurut beliau, pemilihan awal telah dibuat menerusi Kejohanan Ragbi NRDP 7’s Kebangsaan (Sebelah) Lelaki dan Wanita 2026 B-18 yang berlangsung hari ini (Ahad).

Mengulas lanjut mengenai kriteria pemilihan, beliau menjelaskan aspek fizikal dan kelajuan menjadi keutamaan barisan kejurulatihan, khususnya bagi skuad lelaki dan wanita dalam saingan format ragbi tujuh sebelah.

Pada edisi 2025 di Hohhot, China, skuad lelaki negara berjaya meraih tempat kelima manakala skuad wanita menamatkan saingan di kedudukan ketujuh.

Skuad B-18 negara dijadualkan menjalani kem latihan pusat di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, pada Ogos dan September ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.