Piala Emas Khir Johari medan persediaan skuad wanita Perak ke SUKMA

Pengurus pasukan, Edy Yusman Abd Manap @ Yahya

KUALA LUMPUR, 9 April – Kejohanan Piala Emas Khir Johari menjadi medan penting untuk pasukan sepak takraw wanita Perak melakukan persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang akan berlangsung pada Ogos.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlawanan pembukaan menentang Labuan dijadikan platform awal menilai kemampuan sebenar skuad wanita Perak.
  • Perak menurunkan hampir sepenuhnya pemain muda tanpa pemain import atau pemain senior.
  • Kejohanan Piala Emas Khir Johari julung kali diadakan untuk pasukan wanita.
  • Regu Putrinurleesya Fatinah Nur Azli, Farieshanur Dania dan Nur Ainin menang 15-7, 15-7 ke atas Labuan.

Pengurus pasukan, Edy Yusman Abd Manap @ Yahya berkata, perlawanan pembukaan menentang Labuan menjadi platform awal untuk menilai kemampuan sebenar skuad wanita Perak yang dibarisi hampir sepenuhnya pemain muda yang akan beraksi di SUKMA 2026.

“Kalau nak ikutkan, perlawanan ini adalah perlawanan pembukaan bagi Perak dalam kejohanan ini dan Kejohanan Piala Emas Khir Johari ini juga julung kali diadakan untuk pasukan wanita.

“Jadi, percaturan kami ini sebenarnya lebih kepada persediaan untuk SUKMA,” katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Jalan Raja Muda, Kampung Baru, hari ini.

Dalam perlawanan pembukaan itu Perak menerusi regu Putrinurleesya Fatinah Nur Azli, Farieshanur Dania Ahmad Hamri dan Nur Ainin Hairol Riduwan menewaskan regu Labuan yang dibarisi Vivian Ivi Jaime, Melyani Martinus dan Jeeliza Jamaran 15-7, 15-7.

Jelas Edy Yusman lagi, Perak tidak menggunakan pemain import atau pemain senior, sebaliknya memberi kepercayaan penuh kepada pemain muda.

“Kami tiada pemain import dan tiada pemain senior. Majoritinya adalah pemain SUKMA. Labuan juga menggunakan pendekatan yang sama dengan pemain-pemain SUKMA mereka,” katanya.