Kelebihan ‘home race’ jadi senjata Hafizh Syahrin

Pelumba Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin

SEPANG, 9 April Kematangan dan pendekatan lebih tenang menjadi sandaran pelumba dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah dalam menghadapi aksi pembukaan musim Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebagai 'home race', Hafizh faham setiap selekoh Sepang, membantu perbaiki catatan masa dan strategi perlumbaan.
  • Sokongan penonton tempatan dijangka menyuntik semangat tambahan serta meningkatkan keyakinan ketika perlumbaan.
  • Pasukan guna jentera musim lalu dengan setup lama dan tanpa crew chief, tumpu jumlah pusingan untuk konsistensi.
  • Hafizh fokus peningkatan fizikal, mental dan strategi, serta sasaran kemenangan berganda untuk buka musim positif.

Memasuki tahun kedua bersama pasukanya, Hafizh mengakui pengalaman musim lalu banyak membantu meningkatkan prestasi khususnya dari aspek kerjasama berpasukan serta persiapan perlumbaan yang lebih tersusun.

Menurut pelumba berusia 31 tahun itu pendekatan lebih santai sepanjang ujian pra musim ini memberi kelebihan walaupun pasukan masih belum menggunakan jentera baharu sepenuhnya berikutan masih dalam proses pembangunan.

“Apa yang kita perlu ubah adalah kerja kita lebih tenang dan juga persiapan untuk ujian pra musim tahun ini lebih tenang berbanding tahun lalu dan menggunakan jentera musim lalu sebab jentera baharu kitaorang masih dalam develope sentence part tengah masih tak sempat nak siapkan sepenuhnya,” katanya.

Dalam masa sama, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri di Sepang dilihat sebagai faktor penting yang mampu memberi kelebihan tambahan buatnya.

Beliau yang menganggap Sepang sebagai ‘home race’ mengakui cukup memahami setiap selekoh dan karakter litar berkenaan, sekali gus membantu dalam usaha memperbaiki catatan masa.

Situasi itu juga memberi kelebihan dari segi keyakinan, selain sokongan penonton tempatan yang dijangka menyuntik semangat tambahan menjelang perlumbaan.

Meskipun berdepan kekangan tanpa kehadiran ketua kru ketika sesi ujian, beliau tetap optimis dengan pendekatan lebih ringkas menggunakan tetapan jentera musim lalu serta memberi fokus kepada konsistensi dengan melakukan lebih banyak pusingan.

“Kami gunakan pendekatan ‘old school’ tanpa crew chief dan data elektronik, hanya setup lama serta tambah jumlah lap. Setakat ini positif, kita lihat bagaimana perlumbaan hujung minggu ini,” jelasnya

Dalam pada itu Hafiz meletakkan sasaran tinggi untuk meraih kemenangan berganda pada perlumbaan kali ini, sekali gus membuka kempen musim dengan langkah positif.

Beliau turut menegaskan fokus kini terarah sepenuhnya kepada peningkatan diri dari segi fizikal dan mental, selain tampil dengan strategi perlumbaan lebih tersusun.

Bekas pelumba MotoGP itu juga memilih untuk tidak lagi menoleh ke belakang terhadap episod insiden perlumbaan musim lalu, sebaliknya mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada prestasi semasa.

Aksi di Sepang dijangka menjadi penanda aras penting buat beliau dalam menentukan hala tuju serta tahap daya saingnya sepanjang musim ini.