Aaaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah mara suku akhir BAC

Gandingan beregu Soh Wooi Yik and Aaron Chia / AFP

KUALA LUMPUR,9 April – Dua lagi beregu utama negara meneruskan kemaraan cemerlang apabila melangkah ke pentas suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aaron Chia-Soh Wooi Yik menewaskan wakil tuan rumah 22-20, 21-19 untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.
  • Pearly Tan-M. Thinaah bangkit menang dramatik 21-19, 19-21, 24-22, mara ke suku akhir dengan tiga kemenangan berturut-turut ke atas Taiwan.
  • Suku akhir: Aaron-Wooi Yik lawan Kang/Ki (Korea); Pearly-Thinaah berdepan Li/Luo (China); kejayaan menyuntik harapan Malaysia.

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik semakin menghampiri misi mempertahankan gelaran selepas menundukkan wakil tuan rumah, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi.

Gandingan ranking kedua dunia itu bagaimanapun diuji sengit terutama di set pertama sebelum pengalaman menjadi pemisah untuk menang 22-20.

Momentum tersebut diteruskan di set kedua apabila Aaron-Wooi Yik tampil lebih meyakinkan dengan mendahului jauh 11-4, sebelum menutup perlawanan dengan kemenangan 21-19 sekali gus mengesahkan tempat ke kelompok lapan terbaik.

Kemenangan itu juga merupakan yang pertama buat gandingan negara ke atas pasangan tuan rumah berkenaan, yang berada di ranking ke-37 dunia.

Menanti mereka di suku akhir esok adalah gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju.

Sementara itu, beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah turut melakar kemaraan selepas bangkit dalam aksi mendebarkan menewaskan pasangan Taiwan, Hsu Yin-Hui-Lin Jhih Yun.

Pearly-Thinaah terlebih dahulu menguasai set pembukaan 21-19 dalam perlawanan seimbang yang menyaksikan kedua-dua pasangan saling kejar-mengejar mata.

Namun, rentak permainan sedikit goyah di set kedua apabila lawan tampil lebih agresif untuk mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 21-19.

Tidak menunggu lama, pasangan negara kembali memperkemaskan corak permainan dalam set ketiga namun terus diasak hebat sebelum kekal tenang di saat genting untuk menoktahkan kemenangan dramatik 24-22.

Kejayaan itu sekali gus mengesahkan tempat mereka ke suku akhir selain meneruskan rekod cemerlang dengan tiga kemenangan berturut-turut ke atas pasangan Taiwan berkenaan.

Di peringkat suku akhir, Pearly-Thinaah dijadual berdepan gandingan China, Li Yi Jing-Luo Xu Min yang mara selepas menewaskan wakil Jepun.

Kemaraan kedua-dua beregu negara itu menyuntik harapan Malaysia untuk mencabar kejuaraan dalam saingan BAC kali ini.