KUALA LUMPUR, 30 November – Jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan kembali dengan misi balas dendam di Sukan SEA 2025 selepas pulang tanpa pingat pada edisi 2023 di Kemboja.
Atlet berusia 22 tahun itu menyasarkan bukan sahaja untuk meraih pingat emas, malah mahu meleburkan rekod temasya serta rekod kebangsaan yang dipegangnya sendiri.
Jonah meletakkan sasaran melepasi 18.14 meter, iaitu rekod temasya milik atlet Filipina, William Morrison, selain berazam memperbaharui rekod kebangsaan 18.66m yang dilakarkannya pada Kejohanan SIPMA di Johor Bahru, September lalu.
“Saya sasarkan untuk pecahkan rekod kebangsaan dan sebagai bonus, saya mahu catat lontaran 19 meter, yang pertama dalam sejarah Malaysia di Sukan SEA nanti. Rekod Sukan SEA sekitar 18 meter lebih, jadi saya akan berikan yang terbaik di Bangkok,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi libat urus bersama Ajinomoto (Malaysia) Berhad di ibu negara pada Sabtu.
Pada edisi 2023, Jonah menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan 16.27m, di belakang atlet para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, yang membawa pulang gangsa.
Mengulas cabaran kali ini, Jonah mengakui ancaman terbesar tetap hadir daripada Morrison yang merekodkan lontaran terbaik musim ini, 18.81m pada Kejohanan Olahraga Filipina, Mei lalu.
Selain acara utama lontar peluru, Jonah turut akan melakukan penampilan sulung dalam acara lempar cakera, sesuatu yang disifatkannya sebagai cabaran besar kerana belum pernah menyertai dua acara serentak di temasya berskala besar seperti Sukan SEA.
Sukan SEA 2025 dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember di Bangkok dan Chonburi.