Reformasi tarif jadi teras kelestarian tenaga dan air negara

Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada pada Sidang Kemuncak Tenaga, Air dan Perubahan Iklim Malaysia 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 April – Reformasi tarif menjadi antara fokus utama kerajaan dalam memastikan kelestarian sektor tenaga dan air negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu peluasan grid bagi penghantaran tenaga boleh diperbaharui tanpa itu aspirasi peralihan tenaga terbantut.
  • Reformasi tarif perlu mencerminkan kos sebenar bagi memastikan kemampanan jangka panjang dan mengurangkan pergantungan kepada subsidi.
  • Tarik pelabur swasta melalui struktur tarif mampan untuk mengurangkan beban dana awam dan percepat pelaksanaan projek tenaga dan air.
  • Kejayaan agenda bergantung kepada tadbir urus cekap, pelaksanaan dasar konsisten dan penyelarasan antara semua peringkat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, walaupun hala tuju peralihan tenaga negara telah ditetapkan dengan jelas, fokus kini beralih kepada pelaksanaan yang berkesan bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan memberi impak sebenar kepada rakyat.

“Pertama, aspek grid. Tenaga boleh diperbaharui bukan lagi kekangan, sebaliknya penghantaran. Tanpa peluasan grid, segala aspirasi kita akan terus terbantut. Bermula tahun ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melabur kira-kira RM42 bilion bagi menaik taraf sistem grid negara. Kedua, reformasi tarif.

“Subsidi mungkin meringankan keadaan semasa, namun ia membebankan masa depan. Sistem yang mampan perlu mencerminkan kos sebenar agar pelaburan dapat digerakkan” jelasnya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Tenaga, Air dan Perubahan Iklim Malaysia 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Tambahnya, dalam sektor air pula, beliau mendedahkan kadar kehilangan air terawat masih berada pada tahap membimbangkan, sekali gus menuntut reformasi menyeluruh termasuk dari aspek tarif dan pengurusan.

Pendekatan tersebut penting bagi
memastikan sistem tenaga dan air mampu bertahan serta berkembang seiring peningkatan permintaan dan cabaran global.

Jelasnya lagi, reformasi tarif juga merupakan prasyarat penting dalam menarik penyertaan pelabur swasta, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada dana awam.

Dalam masa sama, tegasnya sistem sedia ada tidak lagi boleh bergantung kepada subsidi semata-mata, sebaliknya perlu mencerminkan kos sebenar bagi menjamin kemampanan jangka panjang serta menarik pelaburan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kejayaan agenda peralihan tenaga dan air negara bergantung kepada kecekapan tadbir urus serta pelaksanaan dasar yang konsisten di semua peringkat.

Sidang kemuncak yang berlangsung itu menjadi
platform penting dalam memperkukuh hala tuju kerajaan bagi memastikan reformasi tarif serta pelaksanaan dasar tenaga dan air dapat dilaksanakan secara bersepadu dan mampan.