Mediasi percuma bagi kes pertikaian perundangan bawah RM250,000

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR, 9 April – Kerajaan mengumumkan inisiatif mediasi percuma bagi membantu golongan kreatif dan orang awam menyelesaikan pertikaian kontrak tanpa perlu menanggung beban kewangan tambahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tuntutan RM250,000 dan ke bawah boleh dirujuk ke Asian International Arbitration Centre untuk mediasi pro bono.
  • Kos perundangan bagi proses mediasi akan ditanggung sepenuhnya oleh pusat mediasi berkenaan.
  • Kes bawah RM250,000 boleh dirujuk terus ke pusat mediasi tanpa perlu memfailkan kes di mahkamah terlebih dahulu.
  • Program diperluas kepada kontrak industri kreatif bersama FINAS, termasuk program literasi undang-undang bulanan untuk penggiat industri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif “pro bono mediation” itu ditawarkan khusus bagi kes melibatkan nilai tuntutan RM250,000 dan ke bawah, yang dikendalikan menerusi Asian International Arbitration Centre (AIAC).

Langkah itu bertujuan mengurangkan beban kos guaman yang lazimnya perlu ditanggung apabila sesuatu kes dibawa ke mahkamah sebelum proses mediasi boleh dilaksanakan.

“Buat masa ini, untuk mendapatkan mediasi, pihak terlibat perlu memfailkan kes di mahkamah terlebih dahulu. Namun melalui inisiatif ini, kes bawah RM250,000 boleh terus dirujuk ke pusat mediasi secara percuma,” katanya dalam sidang media bersempena Simposium Seniman 2026 di sini.

Menurut beliau, kos perundangan bagi proses tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh pusat berkenaan.

Inisiatif itu dijangka mula dilaksanakan seawal minggu pertama Mei ini, tertakluk kepada persiapan akhir pihak berkaitan.

Datuk Seri Azalina juga memaklumkan, program berkenaan akan diperluas kepada pelbagai jenis kontrak, termasuk dalam industri kreatif seperti kontrak artis, perfileman dan produksi, dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Selain itu, FINAS juga dijangka bekerjasama dengan agensi bantuan guaman dan pihak insolvensi bagi melaksanakan program literasi undang-undang secara bulanan kepada penggiat industri.

Inisiatif ini terbuka kepada semua, termasuk wartawan sambilan atau individu yang berdepan isu bayaran tidak dijelaskan oleh majikan.