
KUALA LUMPUR, 9 April – Kerajaan terus memperkukuh industri kreatif negara khususnya sektor perfileman menerusi pelbagai inisiatif termasuk bantuan kewangan, mediasi undang-undang serta perlindungan hak cipta dalam era kecerdasan buatan (AI).
- Peruntukan RM300 juta untuk Insentif Penggambaran Filem di Malaysia (FIMI) bagi lima tahun, tarik produksi antarabangsa dan wujudkan pekerjaan tempatan.
- Perluasan kerjasama FINAS dan Jabatan Insolvensi bagi membantu pemulihan penggiat industri yang menghadapi masalah kewangan.
- Inisiatif mediasi Jabatan Bantuan Guaman selesaikan pertikaian kontrak bawah RM250,000 untuk kurangkan kos guaman penggiat seni.
- Pengukuhan perlindungan hak cipta termasuk aspek AI bagi melindungi wajah, suara dan kebajikan artis dalam era digital.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan bukan sahaja menyediakan dana dan peruntukan bagi merancakkan industri, malah turut mengambil kira cabaran risiko perniagaan yang dihadapi penggiat seni.
“Industri pemfileman mempunyai risiko tersendiri dan ada dalam kalangan penggiat yang terkesan dari segi kewangan. Jadi, kerajaan melalui kerjasama pelbagai agensi akan membantu mereka untuk bangkit semula,” katanya pada sidang media sempena Simposium Seniman 2026 di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut beliau, kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Insolvensi Malaysia akan diperluas bagi membantu penggiat industri yang berdepan masalah kewangan, termasuk menyediakan sokongan pemulihan.
Selain itu, kerajaan turut menggerakkan inisiatif mediasi melalui Jabatan Bantuan Guaman bagi menyelesaikan pertikaian kontrak melibatkan nilai bawah RM250,000, sekali gus membantu mengurangkan kos guaman dalam kalangan penggiat seni.
Dalam pada itu, Datuk Fahmi mengumumkan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi Insentif Penggambaran Filem di Malaysia (FIMI) untuk tempoh lima tahun akan datang. Langkah itu bertujuan menarik lebih banyak produksi antarabangsa serta membuka peluang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan dalam industri kreatif.
“Peruntukan ini akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan penggambaran filem dan seterusnya merancakkan ekonomi kreatif negara,” ujarnya.
Jelasnya lagi, kerajaan turut melancarkan Dana Citra bernilai RM10 juta yang memberi fokus kepada pembangunan kandungan berteraskan identiti nasional merangkumi filem cereka, dokumentari dan filem pendek.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut meminta FINAS meneliti aspek perlindungan hak cipta terutama melibatkan penggunaan teknologi AI yang kini mampu menghasilkan visual dan suara menyerupai individu sebenar.
“Bagi artis, wajah dan suara adalah aset utama. Justeru, aspek hak cipta perlu diperkukuh supaya kebajikan dan hak mereka terus terpelihara dalam era digital,” katanya.
Beliau berharap semua inisiatif yang diumumkan dapat memberi manfaat menyeluruh kepada penggiat industri serta memastikan kelangsungan dan daya saing sektor perfileman negara.