
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini dengan menghidangkan tiga telefilem khas yang mengangkat mesej mendalam mengenai erti pengorbanan, kesabaran, dan keutuhan institusi kekeluargaan.
- Naskhah sebagai pengisian rohani dan pedoman tentang keikhlasan serta ketaatan, mengambil inspirasi dari kisah pengorbanan agung.
- Drama mencerminkan realiti cabaran keluarga, menuntut ketahanan mental, kesabaran, tolak ansur, dan komunikasi berterusan.
- Jadual siaran: Demi Janji Itu (TV1 10.30 malam), Direbus Tak Empuk (TV2 3.00 petang), Aidil Milik Adha (TV Okey 9.30 malam).
- RTM mengajak umat Islam menghayati pengorbanan sebenar dan menjadikan nilai itu pedoman hidup bersama keluarga.
Kesemua naskhah berkenaan diterbitkan khusus sebagai pengisian rohani dan pedoman buat masyarakat bagi menghayati nilai keikhlasan serta ketaatan seumpama kisah agung pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang disambut umat Islam tidak lama lagi.
RTM dalam kenyataan memaklumkan penerbitan drama-drama berkenaan bertepatan dengan realiti kehidupan masyarakat hari ini kerana setiap fasa dalam berkeluarga mempunyai cabaran tersendiri yang menuntut ketahanan mental serta fizikal.
“Untuk membina keluarga yang bahagia, ujian dan pengorbanan adalah lumrah yang perlu dihadapi bersama. Ia memerlukan kesabaran yang tinggi, tolak ansur, dan komunikasi berterusan daripada setiap pasangan.
“Dugaan seperti masalah kewangan, perbezaan pendapat, dan cabaran mendidik anak sebenarnya menjadi medan untuk memperkukuhkan lagi ikatan kasih sayang,” menurut kenyataan itu lagi.
Rangkaian drama berkenaan akan mula menemui penonton pada 27 Mei ini menerusi tiga saluran utamanya iaitu TV1, TV2, dan TV Okey.
Bagi saluran TV1, penonton akan disajikan dengan drama bertajuk ‘Demi Janji Itu’ pada pukul 10.30 malam, menampilkan lakonan mantap Juhara Ayob sebagai Khadijah, seorang wanita tabah yang istiqomah berkorban membesarkan anak tirinya yang gemar memberontak, dalam karya arahan Bade Hj. Azmi.
Sementara itu, TV2 pula bakal menayangkan drama ‘Direbus Tak Empuk’ pada pukul 3.00 petang, yang mengisahkan kecekalan seorang gadis mualaf (Adeline Tsen) mempertahankan akidahnya meskipun ditentang hebat keluarga, sehinggalah hubungan berkenaan berjaya dipulihkan semula selepas dia berkahwin.
Pada sebelah malamnya, saluran TV Okey akan menyiarkan telefilem ‘Aidil Milik Adha’ pada pukul 9.30 malam yang mengetengahkan lakonan Wanss Ahmad mengenai perjuangan seorang bapa membesarkan anaknya sendirian, sebelum pintu kemaafan membawa keluarganya kembali bersatu semula.
Namun diuji dengan takdir memilukan.
Melalui gandingan jalan cerita yang sarat dengan pengajaran ini, RTM mengajak seluruh umat Islam untuk sama-sama menghayati maksud pengorbanan sebenar dan menjadikannya sebagai pedoman hidup bersama keluarga.