Juruhebah Pahang FM, DJ Ezzul meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan

Foto RTM

KUANTAN, 20 Mei – Juruhebah Pahang FM, Wan Iskandar Che Wan Dzulkarnain atau lebih dikenali sebagai DJ Ezzul, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan kira-kira jam 2.19 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Meninggal akibat komplikasi buah pinggang dan diabetes.
  • Seorang pekerja RTM yang berdedikasi dan multiskill; sering menggalas peranan MC, penyampai dan penyanyi.
  • Berkhidmat sejak 2012; terlibat liputan SUKMA, perlawanan bola sepak dan menerima Anugerah Sukan MSP.
  • Anak kedua daripada tiga beradik, bertanggungjawab kepada ibu bapa; jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 8, Kuantan.

Allahyarham yang berusia 36 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang dan diabetes.

Ketua Bahagian Rancangan RTM Pahang, B. Jaya Brabu berkata, Allahyarham merupakan seorang pekerja yang berdedikasi serta tidak pernah menolak sebarang tugasan yang diberikan.

“Dia seorang yang multiskill, boleh berperanan sebagai pengacara majlis (MC), penyampai dan juga penyanyi. Beliau memiliki pelbagai kebolehan serta sentiasa bersedia untuk melaksanakan apa sahaja tugasan yang diberikan.

“Beliau juga merupakan anak buah saya yang tidak pernah menolak atau ingkar terhadap sebarang permintaan dan arahan yang diberikan, malah boleh dikatakan seorang yang sentiasa bersedia membantu dan melaksanakan tugas dengan baik,” katanya.

Sementara itu, adik kepada Allahyarham, Wan Nurul Aisyah Che Wan Dzulkarnain berkata, DJ Ezzul merupakan anak kedua daripada tiga beradik, disifatkan sebagai seorang anak yang bertanggungjawab terhadap kedua-dua ibu bapanya.

“Dia memang seorang anak yang baik dan sangat disayangi oleh ibu bapanya. Kami sekeluarga amat mengenalinya sebagai individu yang komited dalam pekerjaan dan bertanggungjawab.

“Namun, seperti manusia lain, dia turut diuji dengan cabaran tertentu. Bagaimanapun, dia telah berjaya melalui fasa tersebut, dan kami adik-beradik kini fokus teruskann kehidupan tanpa dia,” katanya.

DJ Ezzul mula berkhidmat di Jabatan Penyiaran (RTM) Pahang sejak tahun 2012 dan pernah bertugas sebagai penyampai Zon Aktif pagi.

Allahyarham juga pernah terlibat dalam pelaporan Sukan Malaysia (SUKMA) bagi kontinjen Pahang serta liputan perlawanan bola sepak.

Bakat dan komitmen beliau dalam bidang penyiaran turut membolehkannya menerima Anugerah Sukan daripada Majlis Sukan Pahang (MSP).

Allahyarham menghidap penyakit diabetes sejak lima tahun lalu dan keadaannya dilaporkan semakin merosot sejak April tahun ini.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 8, Kuantan kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.