
KUALA LUMPUR, 9 April – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan kancah Liga Malaysia ketika ini kekal stabil dan tidak berada dalam keadaan ‘tenat’ meskipun terdapat segelintir kelab yang sedang bergelut dengan isu kewangan serta pengurusan.
- Pelaksanaan sistem Financial Fair Play (FFP) baharu kini memasuki tahun pertama.
- Penyesuaian dan penstabilan ekosistem liga memerlukan masa sebelum impak transformasi dapat dinilai.
- Pengalaman La Liga menunjukkan pemulihan kewangan boleh mengambil sehingga lima tahun; penilaian tidak wajar dibuat secara tergesa.
- MFL sedia mendengar pasukan dan merancang pertemuan CEO, pemegang taruh serta Lembaga Pengarah sebelum akhir April.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd menjelaskan, persepsi yang mengatakan liga tempatan kian merosot adalah tidak tepat memandangkan pelaksanaan sistem Financial Fair Play (FFP) baharu sahaja memasuki fasa tahun pertama.
Menurut beliau, proses penyesuaian serta penstabilan ekosistem liga memerlukan tempoh tertentu sebelum impak transformasi tersebut dapat dinilai secara menyeluruh.
“Kita tidak melihat liga dalam keadaan kritikal. Tahun pertama pelaksanaan FFP ini sebenarnya telah menunjukkan beberapa perkembangan positif.
“Pengalaman liga luar seperti La Liga membuktikan proses pemulihan kewangan tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya memakan masa sehingga lima tahun. Justeru, tidak wajar untuk kita menilai keberkesanan proses ini secara terburu-buru,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis kerjasama strategik antara MFL dan Konami di ibu negara, hari ini.
Dalam pada itu, MFL menyatakan kesediaan untuk mendengar suara hati pasukan bertanding, termasuk cadangan mengadakan perbincangan meja bulat bagi menangani cabaran semasa yang dihadapi.
“MFL sememangnya mempunyai perancangan untuk bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab. Namun, disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, pertemuan itu terpaksa ditangguhkan seketika.
“Insya-Allah, kita akan mengadakan perjumpaan bersama semua CEO kelab, pemegang taruh, serta Lembaga Pengarah dalam masa terdekat, yang dijangka berlangsung sebelum berakhirnya April ini,” tambahnya.