
PUTRAJAYA, 9 April – Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor akan diteruskan dengan pendekatan lebih berhemat, mengambil kira situasi ekonomi semasa serta krisis tenaga global.
- Keputusan penganjuran SUKMA 2026 dibuat selepas persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.
- Fokus utama ialah penjimatan kos tanpa menjejaskan kualiti pertandingan dan prestasi atlet.
- Penjimatan tidak akan menggugat kebajikan atlet dan jurulatih; pengurangan tumpuan pada elemen kosmetik atau kemewahan.
- Penangguhan akan membawa implikasi kewangan lebih besar kerana negeri-negeri sudah menanggung kos persiapan tinggi.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari memaklumkan bahawa keputusan tersebut dicapai selepas mendapat persetujuan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.
Menurut beliau, fokus utama penganjuran edisi kali ini adalah terhadap langkah penjimatan kos namun tidak akan menjejaskan kualiti pertandingan mahupun prestasi atlet yang bertanding.
“Penjimatan ini tidak melibatkan kualiti, pembangunan, mahupun kebajikan atlet serta jurulatih. Perkara tersebut tidak akan kita ganggu.
“Sebaliknya, penjimatan akan dilakukan terhadap perkara bersifat kosmetik. Maknanya, jika penganjuran itu terlalu mewah, kita akan kurangkan sedikit elemen kemewahan tersebut demi mengutamakan aspek sukan itu sendiri,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang penangguhan temasya berkenaan hanya akan membawa implikasi kewangan yang lebih besar, memandangkan negeri-negeri telah pun menanggung kos persiapan yang tinggi.
Penganjuran SUKMA 2026 dilihat kekal signifikan sebagai platform utama untuk mempersiapkan atlet negara ke peringkat lebih tinggi, termasuk Sukan Asia, Sukan Komanwel, dan Sukan SEA 2027.