
PUTRAJAYA, 9 April – Kejayaan Malaysia meraih pengiktirafan daripada Union Cycliste Internationale (UCI) sebagai antara penganjur terbaik dunia menjadi pemangkin utama buat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengambil alih sepenuhnya penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL).
- Jemaah Menteri meluluskan KBS sebagai peneraju utama penganjuran LTdL bagi tempoh tiga tahun akan datang.
- Peruntukan tahun ini dipadatkan kepada RM12 juta; KBS yakin dapat mengoptimumkan sumber sedia ada.
- Dana edisi 2026 akan disalurkan melalui KWASN, sambil aktif mencari penajaan swasta untuk kurangkan beban kerajaan.
- Kerjasama rentas kementerian dan promosi pelancongan sukan menjadikan LTdL penyumbang impak ekonomi negara.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, mandat tersebut diberikan oleh Jemaah Menteri semalam, yang meluluskan KBS sebagai peneraju utama penganjuran jelajah berbasikal berprestij itu bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Menurut beliau, tahap penganjuran yang diiktiraf pada peringkat global itu mengukuhkan keyakinan kerajaan untuk memastikan LTdL kekal sebagai acara sukan tahap tertinggi dalam kalendar UCI.
“Pengiktirafan UCI membuktikan Malaysia mempunyai kepakaran dalam mengendalikan acara bertaraf dunia. Walaupun peruntukan tahun ini lebih berhemah iaitu RM12 juta berbanding RM18 juta tahun lalu, kami yakin dengan pengoptimuman sumber sedia ada,” katanya.
Beliau menjelaskan, dana bagi edisi 2026 akan disalurkan melalui Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN), namun pihaknya kekal proaktif dalam mencari penajaan swasta bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan.
“Untuk tahun ini, cabarannya adalah tempoh persediaan yang agak singkat. Namun, bagi tahun-tahun mendatang, kita optimis mampu menarik penajaan lebih besar sekali gus mengurangkan kos tanggungan kerajaan,” katannya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026, hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Mohammed Taufiq turut menegaskan kerjasama rentas kementerian tetap menjadi kunci kejayaan, khususnya melibatkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
LTdL bukan sekadar perlumbaan berbasikal, malah merupakan platform pelancongan sukan yang memberi impak ekonomi besar kepada negara melalui promosi destinasi menarik di Malaysia ke seluruh dunia.