Kegiatan seleweng diesel dibongkar, nilai rampasan cecah RM176,000

FOTO KPDN KEDAH

SUNGAI PETANI, 9 April – Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an hingga 60-an ditahan ketika melakukan pemindahan diesel secara haram dalam satu serbuan di kawasan lapang Kebun Tebu, Pekan Lama, di sini, pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPDN menyita kira-kira 4,000 liter diesel bernilai RM24,080, serta sebuah lori kargo, sebuah lori tangki, tiga tong IBC dan peralatan.
  • Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan RM176,680.
  • Ops Tiris 4.0 catat 5,632 pemeriksaan, 21 kes, nilai sitaan RM875,893.30; KPDN akan terus mempergiat operasi dan ambil tindakan tegas.

Serbuan kira-kira pukul 5 petang itu dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.

Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, ketika serbuan, kedua-dua suspek didapati sedang memindahkan minyak diesel daripada sebuah lori kargo yang dilengkapi tangki IBC ke sebuah lori tangki.

Pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak memiliki sebarang permit atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan berkenaan.

“Kedua-dua individu gagal mengemukakan permit sah bagi penyimpanan barang kawalan, sekali gus menimbulkan syak berlaku penyelewengan diesel,” katanya.

Susulan itu, pihak KPDN menyita kira-kira 4,000 liter minyak disyaki diesel bernilai RM24,080 selain sebuah lori kargo, sebuah lori tangki, tiga unit tong IBC serta peralatan pemindahan minyak.

Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM176,680.

Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam pada itu, beliau berkata menerusi pelaksanaan Ops Tiris 4.0 bermula 16 Mac lalu hingga semalam, KPDN Kedah telah menjalankan sebanyak 5,632 pemeriksaan premis dan menghasilkan 21 kes.

Jumlah nilai sitaan dianggarkan mencecah RM875,893.30.

Tegas beliau, KPDN Kedah akan terus mempergiat operasi dan memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasaan lain bagi mengekang penyelewengan serta ketirisan barang kawalan.

Mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan barang kawalan akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.