KPDN Johor rampas 3,300 liter diesel bernilai lebih RM73,000

Lori dan tangki yang dipercayai digunakan untuk penyelewengan diesel di Kawasan Perindustrian Sri Purnama, Johor Bahru/ BERNAMA

JOHOR BAHRU, 9 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor membongkar kegiatan penyelewengan diesel dengan rampasan sebanyak 3,300 liter bernilai RM73,296 dalam satu operasi di Kawasan Perindustri Sri Purnama, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga lelaki ditahan, berusia lingkungan 20-an hingga 40-an, selepas operasi penguatkuasaan.
  • Lori diubah suai ditemui dilengkap tiga tangki IBC mengandungi cecair disyaki minyak diesel.
  • Sindiket guna strategi kumpul minyak banyak kemudian pindah ke lori tangki bagi tujuan penyelewengan.
  • Pam, hos dan dokumen pembelian disita; kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata dalam operasi pukul 11 pagi itu, tiga lelaki berusia antara lingkungan 20-an hingga 40-an ditahan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut ke atas sebuah lori yang telah diubah suai mendapati ia dilengkapi tiga tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) mengandungi cecair disyaki minyak diesel sebanyak 3,000 liter.

“Manakala sebuah lori tangki turut didapati mengandungi cecair disyaki minyak diesel dengan anggaran sebanyak 300 liter, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan minyak diesel dianggarkan sebanyak 3,300 liter,” katanya dalam kenyataan.

Lilis Saslinda Pornomo berkata, modus operandi sindiket adalah mengubahsuai lori bagi pengumpulan minyak diesel dalam kuantiti yang banyak sebelum dipindahkan ke lori tangki lain bagi tujuan penyelewengan.

Turut disita, pelbagai peralatan digunakan untuk aktiviti pemindahan minyak termasuk pam, hos, dan beberapa dokumen berkaitan pembelian minyak diesel.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.