
MACHANG, 9 April – Seorang lelaki cedera ditembak selepas bertindak agresif menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang dalam kejadian di hadapan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, pada Rabu.
- Semasa pemeriksaan, seorang suspek mengeluarkan parang dan mengibas ke arah anggota polis; polis melepaskan beberapa das tembakan.
- Suspek melarikan diri namun ditahan berhampiran; seorang lagi berjaya meloloskan diri dan sedang dikesan.
- Tertuduh cedera di paha kanan, dirawat di Hospital Machang dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
- Suspek mempunyai rekod jenayah serius; kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan suspek direman selama tujuh hari.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.17 malam itu, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden tembakan sebelum sepasukan anggota ronda cegah jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang digerakkan ke lokasi.
Menurut beliau, ketika pemeriksaan dijalankan terhadap dua lelaki dalam keadaan mencurigakan, salah seorang suspek tiba-tiba bertindak agresif dengan mengeluarkan parang dan melibas ke arah anggota polis.
“Bagi mempertahankan diri, anggota terlibat melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek. Lelaki itu kemudian melarikan diri sebelum berjaya ditahan di kawasan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, seorang lagi individu yang bersama suspek berjaya meloloskan diri dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.
Suspek yang ditahan mengalami kecederaan di paha kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Machang. Keadaannya dilaporkan stabil.
Dalam pada itu, polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.
Siasatan awal mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), serta kes berkaitan bahan kakisan dan senjata berbahaya.
Suspek juga mempunyai rekod di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, selain kes khianat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Rekod ini menunjukkan suspek mempunyai latar belakang jenayah yang serius dan berulang. Kes terbaharu ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Sementara itu, insiden berkenaan mencetuskan panik dalam kalangan penduduk sekitar.
Seorang peniaga, Shahida Ramli berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di sebuah kedai makan berhampiran sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan.
“Saya tengah bekerja, tiba-tiba dengar bunyi tembakan kira-kira tiga kali. Nampak lampu merah, memang terkejut sebab sudah lewat malam. Kami terus lari menyelamatkan diri,” katanya.
Seorang pelajar, Adam Hakimie Rosli pula berkata, dia bersama rakan-rakan berada di luar kedai sebelum menyedari keadaan menjadi kecoh.
“Kami nampak orang berlari dan kemudian dengar bunyi seperti tembakan. Pada mulanya ingat bunyi lain, tapi bila bunyi kuat di bumbung, kami terus masuk ke dalam kedai kerana bimbang keselamatan,” ujarnya.