Tiga lagi suspek ditahan bantu siasatan kes bunuh di Buntong

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin/ BERNAMA

IPOH, 9 April – Tiga lagi lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki dalam kejadian pergaduhan di Buntong, Isnin lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuh suspek ditahan setakat ini termasuk tangkapan terkini di Menglembu.
  • Empat suspek lain termasuk suspek utama berusia awal 20-an hingga 30-an ditahan di Ipoh dan Sungai Siput.
  • Mangsa lelaki 25 tahun maut dipercayai ditetak; polis sahkan pergaduhan antara dua kumpulan, keadaan aman dan terkawal di Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, tangkapan terbaharu dibuat di Menglembu pagi tadi, menjadikan tujuh suspek ditahan setakat ini.

Beliau berkata, empat suspek lain termasuk suspek utama, berusia antara awal 20-an hingga 30-an, ditahan lebih awal di sekitar Ipoh dan Sungai Siput.

“Sehingga hari ini, kita telah berjaya menahan tujuh individu berkaitan kes ini. Siasatan semasa masih diteruskan.

“Insiden ini hanyalah melibatkan perselisihan faham antara dua kumpulan dan tidak berada pada tahap yang membimbangkan. Keadaan masih aman dan terkawal, bukan sahaja di daerah Buntong atau sekitar Ipoh, malah di seluruh negeri Perak”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak.

Isnin lalu, seorang lelaki berusia 25 tahun maut dipercayai ditetak dalam satu kejadian pergaduhan di Buntong.

Mangsa ditemukan terbaring di tengah jalan dengan kecederaan parah selepas diserang sekumpulan suspek bersenjatakan parang.

Sementara itu, Polis Perak menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan kripto tidak wujud yang menyasarkan warga Eropah, khususnya dari Itali, dalam satu serbuan di Bagan Datuk, Selasa lalu.

Datuk Noor Hisam berkata, seramai 22 warga China ditahan, terdiri daripada 19 lelaki dan tiga wanita berusia antara 22 hingga 40 tahun.

Kesemua suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti penipuan pelaburan kripto tidak wujud melalui sebuah platform dikenali sebagai ‘Pyxora Labs’.

“Sindiket ini berkomunikasi dengan mangsa melalui platform WhatsApp atau Telegram, sebelum mempengaruhi mereka yang berminat untuk menyertai pelaburan tersebut.

“Pembayaran pula dibuat oleh mangsa kepada sindiket dalam bentuk mata wang USDT melalui aplikasi atau laman web Pyxora Labs”, katanya.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 35 telefon bimbit, sembilan komputer riba serta beberapa peralatan rangkaian dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM95,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120B kerana pakatan jenayah.

Semua suspek direman selama empat hari hingga 10 April ini bagi membantu siasatan.