Imigresen tahan 66 PATI di Seremban

Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di Seremban/Foto JIM Seremban

SEREMBAN, 9 April — Seramai 66 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) yang dijalankan di sekitar daerah ini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • 128 warga asing diperiksa; sebahagian didapati melanggar peraturan imigresen.
  • Kesalahan termasuk tiada dokumen sah dan tinggal melebihi tempoh mengikut Akta Imigresen, Akta Pasport dan Peraturan Imigresen.
  • Semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut; tindakan tegas terhadap majikan yang menggaji atau melindungi PATI.

Operasi bermula pukul 10 pagi hingga 1.30 pagi, manakala pada 9 April melibatkan pemeriksaan di 17 lokasi termasuk sebuah restoran di Seremban 2.

Pengarah JIMNS, Kennith Tan Ai Kiang berkata seramai 128 warga asing telah diperiksa dengan 66 daripada mereka berusia antara 18 hingga 55 tahun didapati melanggar peraturan imigresen.

“Daripada jumlah itu, 61 adalah lelaki dan lima perempuan melibatkan pelbagai warganegara termasuk Indonesia, Nepal, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Myanmar dan India,” katanya.

Beliau berkata antara kesalahan dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Menurutnya, semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.

Operasi berkenaan dijalankan tanpa sebarang insiden tidak diingini dan tiada PATI berjaya meloloskan diri berikutan kawalan rapi pasukan penguat kuasa.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai tampil menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kebanjiran PATI di negara ini.

Katanya, tindakan tegas termasuk pendakwaan akan dikenakan terhadap majikan atau individu yang menggaji atau melindungi PATI.