PGA tumpas sindiket e-waste haram dengan nilai rampasan RM187 juta

Sidang media di Markas PGA Briged Tengah/Foto BERNAMA

CHERAS, 9 April – Briged Tengah Pasukan Gerakan AM (PGA) menumpaskan aktiviti operasi pengurusan bahan buangan sisa elektrik dan elektronik (E-Waste) haram dengan nilai rampasan sebanyak RM187 juta yang dijalankan di tiga negeri menerusi Op Hazard 3.0.

RINGKASAN BERITA AI
  • 56 orang ditahan dalam 14 serbuan di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor Bahru pada 6 April.
  • Rampasan termasuk 1,400 tan e-waste, 2,000 kg barang lusuh, 11,000 kg produk akhir dan 134 unit lain-lain.
  • Dalam tempoh 1 Jan hingga 9 Apr 2026, 140 serbuan, 394 tangkapan warga asing dan rampasan keseluruhan RM216 juta.

Dalam operasi itu seramai 56 orang ditahan melibatkan 10 serbuan di Selangor, dua (2) serbuan di Negeri Sembilan dan dua (2) lagi di Johor Bahru pada 6 April lalu.

Antara jenis rampasan melibatkan 1,400 tan barangan e-waste, 2,000 kg barang lusuh, 11, 000 kg produk akhir dan 134 unit lain-lain rampasan.

Komander Briged Tengah PGA, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Hakemal Hawari berkata seramai 48 lelaki bukan warganegara dan 8 perempuan ditahan dalam operasi itu.

“Ia melibatkan 18 lelaki dan 2 perempuan warga Bangladesh, 26 lelaki 5 perempuan warga Myanmar, manakala 4 lelaki 1 perempuan dari China,” katanya pada sidang media di Markas PGA Briged Tengah di sini hari ini.

Operasi dijalankan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Udara (PGU), Unit Amla Bukit Aman, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kes disiasat di bawah beberapa akta termasuk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,” katanya.

Dalam pada itu, PGA turut mencapai beberapa kejayaan bagi tempoh dalam empat bulan termasuk menangkap 394 individu warga asing.

“Dalam tempoh 1 Januari hingga 9 April 2026, sebanyak 140 serbuan telah dijalankan meliputi negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Hasilnya seramai 394 individu berjaya ditangkap dengan pelbagai jenis rampasan melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM216 juta,” katanya.