
KOTA BHARU, 9 April – Seorang anggota polis berpangkat koperal didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyamun dan percubaan merompak dua individu termasuk seorang wanita pada November 2025.
- Tertuduh Mohd. Irfan Azieyadi, 45, mengaku tidak bersalah; diwakili peguam Ahmad 'Adha 'Amir Yasser Amri dan Nur Sarah Syamimi Safie.
- Pertuduhan samun terhadap Nik Zainab Nik Zul Azhar di sebuah kedai runcit Kampung Kemumin; didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
- Pertuduhan percubaan rompak terhadap seorang lelaki warga asing, Rahman Ubaid di Jalan Tok Kenali; didakwa mengikut Seksyen 393.
- Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dan RM7,500; syarat termasuk melapor bulanan di IPD, menyerahkan pasport dan larangan mengganggu saksi.
Bagaimanapun tertuduh, Mohd. Irfan Azieyadi Abdul Aziz, 45 tahun, yang sudah digantung tugas mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad dan Majistret Rais Imran Hamid.
Dalam pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa melakukan samun terhadap Nik Zainab Nik Zul Azhar, 34 tahun, semasa berada di sebuah kedai runcit di Kampung Kemumin, Jalan Sabak, Kota Bharu, kira-kira 10.30 malam pada 7 November 2025.
Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri dan Nur Sarah Syamimi Safie.
Terdahulu, Kamarul Hasyime memohon jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada setiap bulan.
Nur Sarah Syamimi dalam rayuannya memohon ikat jamin RM10,000 dengan alasan tertuduh yang sudah ditahan kerja sejak 2023 dan bekerja sebagai buruh kasar.
Selain itu, dia juga menanggung seorang isteri yang merupakan seorang jururawat dan menghidap kanser ovari tahap tiga serta dua anak berusia 11 dan 17 tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 termasuk syarat tambahan iaitu perlu setiap bulan melapor diri di IPD Kota Bharu dan menyerahkan pasport.
Mahkamah menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sementara itu dalam pertuduhan di Mahkamah Majistret, Mohd. Irfan Azieyadi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan percubaan rompak terhadap seorang lelaki warga asing, Rahman Ubaid di depan sebuah rumah di Jalan Tok Kenali, Kota Bharu, kira-kira pukul 5.15 petang pada 12 November lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda sekiranya disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili dua peguam yang sama.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM7,500 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh atau mana-mana ejennya dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan kedua-dua mahkamah.